SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak mengeluarkan sebarang peruntukan tambahan bagi pembangunan aplikasi Nine yang menelan kos RM1.03 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kos pembangunan sekali bayar aplikasi itu ditanggung sepenuhnya Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd pada 2025.
Menurutnya, kos itu merangkumi pembangunan aplikasi, reka bentuk antara muka pengguna (UI) dan pengalaman pengguna (UX), infrastruktur bahagian belakang, integrasi sistem serta pelaksanaan teknikal.
"Tiada sebarang pemaju dilantik bagi pembangunan aplikasi Nine, sebaliknya ia dibangunkan secara dalaman melalui kepakaran sedia ada Wavpay," katanya ketika menjawab soalan Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) pada sesi pertanyaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.
Amirudin memberitahu, pemilihan Wavpay dibuat kerana syarikat itu adalah antara anak syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) melalui Selangor E-Wallet serta memiliki lesen e-dompet daripada Bank Negara Malaysia.
Katanya, Wavpay turut mempunyai kepakaran dalaman dalam pembangunan aplikasi digital selain pengalaman dalam industri teknologi kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan aplikasi Nine digabungkan dengan Selangkah bagi membentuk satu 'super app' yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri.
Beliau berkata, penggabungan itu bagaimanapun memerlukan sedikit masa kerana membabitkan dua entiti iaitu MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Kita nak supaya Nine dan Selangkah digabungkan dan menjadi satu super app yang boleh digunakan untuk semua daripada penggunaan parkir sampai kepada permohonan serta inisiatif kerajaan negeri.
"Kita juga nak lihat supaya kos transisi tidak terlalu besar dan kita sudah arahkan supaya ia dilaksanakan," tambah beliau.