ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban manakala lapan lagi masih hilang setakat pagi Isnin di Filipina akibat kejadian banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh kesan gabungan angin monsun barat daya serta Siklon Tropika Kujira dan Dolphin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penolong Setiausaha Pejabat Pertahanan Awam, Laurence Mina berkata, seramai 11 orang turut mengalami kecederaan, menurut laporan The Philippine Daily Inquirer.
Beliau berkata, punca kematian yang dilaporkan merangkumi kejadian tanah runtuh, runtuhan batu, pokok tumbang, kejutan elektrik dan lemas.
Hampir 586,000 individu terjejas merentasi sembilan wilayah dan 33 wilayah pentadbiran, menurut portal GMA News Online.
Sejumlah 4,866 individu turut dipindahkan lebih awal di Wilayah I, III, Calabarzon dan Mimaropa.
Lebih 32,800 penduduk hilang tempat tinggal dan kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan atau menumpang di rumah saudara-mara mereka. - Bernama