BANGKOK - Thailand sekali lagi digemparkan dengan insiden serangan tembakan selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pejabat kerajaan tempatan di pinggir ibu kota pada Isnin.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas kejadian serupa di sebuah sekolah di wilayah sama hingga mencetuskan semula perdebatan mengenai kawalan senjata api di negara itu.
Ketua Polis Wilayah, Mejar Jeneral Dejrapee Kongdee berkata, suspek yang merupakan bekas anggota Parlimen itu melepaskan tembakan ke arah seorang pegawai kanan dan pemandunya sebelum berjaya diberkas.
“Dua individu cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam kejadian berasingan pada Jumaat, sembilan orang maut dan lebih 20 lagi cedera selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa menembak mati datuk dan neneknya sebelum melakukan serangan tembakan di Sekolah Menengah Debsirin Nonthaburi, daerah Bang Kruai.
Kejadian itu disifatkan sebagai insiden tembakan beramai-ramai paling dahsyat di Thailand dalam tempoh hampir empat tahun.
Pada Isnin, pelajar sekolah berkenaan kembali bersekolah seperti biasa dengan sebahagian daripada mereka melalui pemeriksaan pengesan logam dan saringan keselamatan lain. - Agensi