ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mempertimbangkan untuk menangguhkan penyerahan dokumen tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang sehingga berlaku perubahan kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pertimbangan itu dibuat susulan kerajaan negeri masih belum menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan yang telah dibangkitkan sejak kira-kira enam tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri kini sudah melengkapkan semua dokumen berkaitan tuntutan berkenaan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dikemukakan.
"Kerana kita faham perkara yang agak berat bagi mereka. Saya ingat bukanlah baru mula perkara ini, saya cakap tajuk ini pun enam tahun dah. Kalau mereka ada telinga untuk mendengar, ada akal untuk fikir, tentulah hal ini telah diterima sebagai bahan yang perlu dibincangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
Azhar sebelum itu meminta penjelasan mengenai langkah yang akan diambil kerajaan negeri sekiranya Kerajaan Persekutuan masih enggan mempertimbangkan tuntutan Kedah berkaitan pajakan Pulau Pinang.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan terus mengemukakan tuntutan itu berdasarkan fakta, dokumen sejarah serta asas undang-undang yang disifatkan kukuh.
Katanya, sepanjang tempoh kira-kira enam tahun tuntutan itu dibangkitkan, kerajaan negeri masih belum menerima respons positif daripada Kerajaan Persekutuan walaupun perkara berkenaan telah beberapa kali dibawa untuk perhatian.
"Yang agak melompat kerajaan Pulau Pinang, dia lompat lebih sikit, saya pun tak tahu pasai apa. Kita bukan usik dia pun, kita bercakap tentang negeri kita, mungkin mereka kepanasan.
"Saya harap apa yang dibawa berdasarkan undang-undang dapat diterima. Cuma oleh kerana kadang-kadang undang-undang di belakang orang, bukan di depan," katanya.
Menurutnya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu diletakkan di hadapan tanpa mengira siapa pihak yang terlibat atau kedudukan mereka.
Muhammad Sanusi berkata, perkara sama pernah dibangkitkannya ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan, termasuk kepada Perdana Menteri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri pada masa berkenaan belum mempunyai dokumen lengkap seperti yang tersedia sekarang menyebabkan tuntutan itu belum dikemukakan secara rasmi.
"Saya sebutkan tadi, Sidam, tak kira siapa kan, daripada kerajaan Persekutuan belum ada respons yang positif. Saya ada sebut dalam tempoh 33 bulan itu, saya ada sebut kepada Perdana Menteri pada masa itu.
"Tapi oleh kerana pada masa itu dokumen belum siap yang macam kita ada sekarang ini, kita tak kemukakanlah. Bila dah siap baru boleh," katanya ketika menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam).
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri kini sudah melengkapkan kajian sejarah dan perundangan termasuk penelitian terhadap dokumen sejarah, perjanjian serta rekod pembayaran berkaitan tuntutan berkenaan.
Katanya, laporan akhir kajian itu telah dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN dan Ahli Parlimen berkaitan pada 15 April 2025 sebelum pasukan guaman dilantik bagi meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak dan kepentingan Kedah melalui saluran yang sah termasuk rundingan, tindakan perundangan serta saluran berkaitan institusi Raja-Raja Melayu.
"Kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan serius dan adil terhadap titah Tuanku Sultan serta tuntutan kerajaan negeri supaya kadar bayaran berkenaan disemak semula berdasarkan nilai semasa demi kepentingan rakyat Negeri Kedah," katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, kadar bayaran berkenaan bermula pada RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, kadar tersebut didakwa tidak pernah disemak semula selepas itu.