PM hargai semua pihak bantu urus pengebumian abang

Iklan
Anwar kelihatan sugul ketika pengebumian jenazah abangnya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam pada Jumaat.

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam urusan pengebumian abang sulungnya, Allahyarham Idrus Ibrahim pada Jumaat.

Anwar menyampaikan ucapan terima kasih itu ketika ditemui media di pekarangan kediaman keluarganya di Cherok Tokun di sini selepas menghadiri pengebumian Allahyarham.

Iklan
Iklan

“Terima kasih kepada semua yang bantu (orang) Kampung Cherok Tok Kun dan rakan-rakan datang. Terima kasih banyak,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Anwar turut meluahkan rasa sayu dan hiba ketika pulang ke kampung halaman bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham abangnya. 

Iklan

“Pulang ke Cherok Tokun dengan hati yang sarat rasa sayu dan hiba, untuk bersama keluarga besar mengiringi dan menitipkan salam terakhir buat Allahyarham Idrus Ibrahim.

“Terima kasih atas segala kasih, jasa dan budi yang dicurahkan buat keluarga ini sepanjang hayatmu,” katanya.

Iklan

Menurut Anwar, pemergian Allahyarham meninggalkan ruang yang sukar diisi namun keluarga akan terus menguatkan hati untuk meneruskan kehidupan.

“Insya-ALLAH, kami akan terus melangkah, menguatkan hati meneruskan saki-baki kehidupan, meski kehilangan ini meninggalkan ruang yang tidak mungkin terisi,” katanya.

Allahyarham Idrus, 83, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Cherok Tokun pada petang Khamis akibat sakit tua.

Jenazah Allahyarham kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Cherok Tokun Bawah selepas solat Jumaat.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di Dewan Solat Sementara Masjid Cherok Tokun Bawah.

Jenazah Allahyarham dibawa ke dewan solat berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Solat jenazah diimamkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan disertai lebih 100 jemaah.

Proses pengebumian bermula kira-kira jam 2.10 petang dan selesai kira-kira jam 2.50 petang yang disertai lebih 100 ahli keluarga serta saudara-mara terdekat, termasuk Anwar.