BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan kaki bersama penduduk kampung mengiringi jenazah abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim untuk disolatkan di Dewan Solat Sementara Masjid Cherok Tokun Bawah, di sini pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham dibawa ke dewan solat masjid berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari, yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.
Solat jenazah Allahyarham Idrus, 83, diimamkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan disertai lebih 100 jemaah.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman Allahyarham untuk dikebumikan.
Proses pengebumian bermula kira-kira jam 2.10 petang dan disertai lebih 100 ahli keluarga serta saudara-mara terdekat, termasuk Anwar.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila ahli keluarga dan penduduk kampung memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dalam keadaan cuaca mendung.
Talkin untuk Allahyarham Idrus dibacakan oleh Imam 1 Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Tengku Zahari Tengku Baharom selepas selesai proses pengebumian.
Allahyarham Idrus meninggal dunia pada petang Khamis pada usia 83 tahun akibat sakit tua dan meninggalkan seorang balu, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80 empat anak serta 10 cucu.
Allahyarham meninggal dunia dalam tidur ketika sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Asar.