ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan bersedia mempertimbangkan cadangan mengembalikan keistimewaan bebas cukai Langkawi untuk membantu merancakkan semula kegiatan perniagaan di pulau peranginan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dipertimbangkan susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu kegiatan perniagaan di Langkawi kembali rancak.
Menurutnya, perkara berkenaan turut dibangkitkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali pada majlis berkenaan.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah ada pesan, baginda nak angkat balik kegiatan perniagaan di Langkawi. Saya setuju, saya timbang,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah di sini.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Baginda bertitah, status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.
Antara perkara yang disentuh termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan yang dihadkan, selain cukai terhadap produk berasaskan tembakau dan barangan lain.