Pintu Stesen Anak Bukit lambat dibuka, penumpang panjat pagar berkunci

Iklan
Beberapa penumpang terpaksa memanjat stesen Anak Bukit di Alor Setar kerana belum dibuka pada jam 5.30 pagi pada Jumaat.

ALOR SETAR - Seramai 25 penumpang terlepas menggunakan dua tren komuter selepas pintu masuk Stesen Anak Bukit di sini tidak dibuka tepat pada waktunya pada awal pagi Jumaat.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku apabila pintu masuk stesen berkenaan belum dibuka seperti waktu operasi ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurut KTMB, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi pada jam 5.30 pagi.

Bagaimanapun, kakitangan yang dijadualkan bertugas untuk membuka stesen tidak dapat melapor diri pada waktu ditetapkan atas faktor kesihatan.

Iklan

"Setelah dimaklumkan pada kira-kira jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan berkenaan namun tidak berjaya.

"Tindakan segera kemudian diambil dengan mengarahkan seorang Kerani Kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada jam 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit,” katanya pada Jumaat.

Iklan

KTMB berkata demikian selepas tular video beberapa pengguna terpaksa memanjat pagar stesen Anak Bukit untuk masuk kerana pagar stesen masih berkunci.

KTMB berkata, kerani berkenaan kemudian tiba jam jam 6.30 pagi dan pintu masuk utama stesen kemudiannya dibuka.

Berdasarkan semakan awal, KTMB menganggarkan kira-kira 25 penumpang terjejas dan tidak dapat menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter iaitu Tren 2901 dan Tren 2903.

Kedua-dua tren berkenaan masing-masing dijadualkan berlepas dari Stesen Anak Bukit pada jam 5.58 pagi dan 6.18 pagi.

Dalam pada itu, KTMB memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku.

"KTMB memandang serius kejadian ini memandangkan akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi yang ditetapkan, khususnya bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan awal pagi," ujarnya.

KTMB turut memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur yang ditetapkan.