BEAUFORT - Hilang keseimbangan ketika cuba mengalihkan galah besi untuk diturunkan menyebabkan galah berkenaan jatuh ke arah bertentangan pokok kelapa sebelum terkena kabel elektrik utama, mengakibatkan tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik di Kampung Weston, di sini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 petang ketika ketiga-tiga anggota terbabit sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sepanjang kira-kira lapan meter.
"Akibat kejadian itu menyebabkan arus elektrik mengalir ke galah besi dan merenjatkan ketiga-tiga mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik
Sabah Electricity siasat punca tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Anwar arah siasatan menyeluruh kejadian anggota polis maut di Beaufort
Katanya, kejadian berlaku di luar Balai Polis Weston dan berhampiran sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
"Keadaan permukaan kawasan tersebut merupakan tanah gambut dan terdapat air bertakung," katanya.
Champin berkata, ketiga-tiga mangsa merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Weston, Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak, Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, berasal dari Terengganu.
"Jenazah ketiga-tiga dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat dan selepas selesai urusan dokumentasi, jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing diiringi oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort," katanya.
Katanya, jenazah ketiga-tiga anggota berkenaan akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, pihaknya ketika ini masih belum menerima maklumat terperinci mengenai lokasi pengebumian ketiga-tiga anggota berkenaan.