JOHOR BAHRU – Dua individu rentung apabila sebuah kereta jenis Mercedes dinaiki lima individu terbakar selepas terlibat kemalangan berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala ke Bakar Batu, di sini awal pagi Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK I Razali Hussein berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.35 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Mercedes dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan sebelum terbakar sehingga 90 peratus.
"Seramai lima mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan tiga daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan tangan sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota bomba," katanya.
Beliau memberitahu, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala seorang lagi mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam.
Katanya, dua lagi mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan dengan identiti mereka belum dapat dikenal pasti.
"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Kedua-dua mangsa yang rentung kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.47 pagi," katanya.