Tragedi kepala air Sungai Pertak: Mangsa pertama ditemukan maut, tujuh masih hilang

Iklan
Mangsa pertama tragedi kepala air Sungai Pertak ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi.

HULU SELANGOR – Mangsa pertama yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak di sini ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, lelaki tempatan dikenali sebagai V Vijayan ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan.

Iklan
Iklan

"Mangsa dijumpai dalam jarak 2.7 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Lata Jebus. Mayat telah diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashrul Riezal berkata, pihaknya meneruskan operasi SAR bagi mencari tujuh lagi mangsa masih dilaporkan hilang pada pagi ini.

Iklan

"Operasi pencarian diteruskan pada pagi ini dengan melibatkan empat sektor sekitar kawasan ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lapan mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.

Iklan

Ashrul Riezal berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian kira-kira jam 5.55 petang Isnin itu membabitkan kes beberapa kumpulan pengunjung yang berada di kawasan rekreasi serta kem sekitar Sungai Pertak.

"Laporan pertama, berhubung lima individu warga Yaman yang berkelah di sungai berkenaan, dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dihanyutkan arus," katanya.

Menurutnya, bomba kemudian menerima maklumat daripada penduduk Orang Asli mengenai kejadian di Lata Jebus yang membabitkan 14 individu.

"Daripada jumlah itu, tiga mangsa dilaporkan selamat, empat terkandas manakala tujuh lagi dikhuatiri lemas," katanya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat turut menerima laporan tujuh individu terkandas di Kem Sungai Luit serta lapan lagi di kawasan Gunung Rajah.

"Kesemua 19 mangsa yang terkandas berjaya dibawa turun dengan selamat oleh pasukan penyelamat pada jam 12.16 tengah malam," katanya.

Operasi SAR diteruskan dengan pasukan penyelamat menyusuri sungai bagi mengesan mangsa yang masih hilang sebelum mangsa pertama ditemukan di Jambatan Pertak.

Operasi berkenaan membabitkan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela serta agensi berkaitan.