NARATHIWAT - Dua lelaki yang dipercayai menembak mati anggota polis ketika operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai, Narathiwat, pada Ahad, ditembak mati dalam satu operasi khas awal pagi Rabu.
Komander Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chalermsri berkata, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun maut dalam operasi di daerah Sukhirin, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, insiden berbalas tembakan berlaku apabila polis mengepung sebuah rumah usang dipercayai tempat persembunyian kedua-dua suspek itu.
Suspek mula melepaskan tembakan ke arah polis dan bagi mempertahankan diri, polis terpaksa membalas tembakan, katanya.
"Pemeriksaan di tempat kejadian hari ini turut menemukan semula dua pucuk pistol milik anggota Balai Polis Tak Bai yang maut pada Ahad. Kedua-dua pistol itu dipercayai dilarikan suspek," katanya pada sidang media pada Rabu.
Beliau mengesahkan tiada suspek yang berjaya melarikan diri dalam operasi pada Rabu.
Pada Ahad, dua anggota polis maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki ketika menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai. - Bernama