MAG diarah semak semula protokol saringan juruterbang

Iklan
Fahmi ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia Aviation Group (MAG) diarahkan menyemak semula protokol saringan latar belakang dan kesihatan juruterbang serta pembantu juruterbang susulan penahanan seorang penolong juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Jakarta yang dipercayai terbabit dalam cubaan menyeludup dadah.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan Jemaah Menteri selepas menerima taklimat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan berhubung insiden berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan itu perlu dibuat dengan mengambil kira insiden yang berlaku bagi memastikan sistem saringan sedia ada terus relevan dan mampu mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.

"MAG diminta untuk melihat semula protokol mereka, dari segi saringan latar belakang dan juga saringan kesihatan bagi juruterbang serta pembantu juruterbang mengambil kira insiden yang telah berlaku," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan supaya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan bersama pasukan Aviation Security di lapangan terbang bagi memperkukuh kawalan keselamatan.

Selain itu, katanya, KDN dan PDRM turut diarahkan mengenal pasti serta menutup sebarang kelompangan dalam sistem keselamatan penerbangan yang berpotensi dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan seorang penolong juruterbang Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas disyaki cuba menyeludup 26 kg dadah jenis ekstasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia

PDRM sahkan penahanan juruterbang Malaysia kes dadah di Indonesia

Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia

Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup 26kg dadah

Kes juruterbang seludup 26kg dadah ke Indonesia: Polis teliti rakaman CCTV di KLIA

Juruterbang ditahan di Indonesia: Bagasi lepasi saringan KLIA, tiada objek mencurigakan dikesan

Kes dadah juruterbang Malaysia: MAHB beri kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa

Kes juruterbang seludup dadah: SOP keselamatan lapangan terbang diteliti semula

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan masih menunggu laporan penuh berhubung kes itu sebelum memutuskan sama ada terdapat keperluan untuk mengambil tindakan tambahan.

"Kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri. Memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, kita memerlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh sebelum mempertimbangkan tindakan susulan selain langkah-langkah yang telah diumumkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu mengenal pasti sama ada terdapat pihak lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan sebelum tindakan lebih menyeluruh diambil.

"Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk memastikan semua kelompangan dapat ditutup dengan segera," jelasnya.