SHAH ALAM - Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) serta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan sewajarnya.
Gesaan itu bagi menyelesaikan segala kekaburan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga organisasi itu berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilihat sudah mengenal pasti secara teliti satu kekaburan serius, jika bukan kesilapan, dalam Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 6 November yang boleh menyebabkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dilepaskan.
Menurut kenyataan itu, sama ada kekaburan atau kesilapan berkenaan disengajakan atau sebaliknya, ia sudah melangkaui pemahaman umum mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib.
"Malah, secara ironinya, jika Najib dilepaskan secara tidak sah daripada hukuman dalam kes SRC, hukuman penjara 15 tahun terhadapnya dalam kes 1MDB-Tanore sepatutnya bermula serta-merta," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang usaha menjadikan kekaburan atau kesilapan berkenaan tidak boleh dicabar di mahkamah akan menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang serta mengubah asas Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan berteraskan demokrasi berparlimen.
Menurut mereka, perbezaan tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan dan undang-undang antara institusi adalah perkara biasa, justeru badan kehakiman diperlukan untuk mentafsir dan menjadi penimbang tara.
"Menafikan peluang AGC mendapatkan penjelasan terhadap persoalan yang dibangkitkan serta membolehkan kekaburan itu diperbetulkan oleh mahkamah akan menjejaskan kedaulatan undang-undang," menurut kenyataan.
Keadaan itu juga, menurut kenyataan berkenaan, boleh menghakis keyakinan masyarakat dan antarabangsa terhadap tadbir urus serta ekonomi Malaysia.
"Tiada individu atau institusi yang bertindak dengan niat baik sepatutnya takut kepada ketelusan dan kejelasan yang dibawa melalui perbicaraan kehakiman," menurut kenyataan itu.
Mereka berkata, sekiranya tahanan rumah Najib adalah berperlembagaan dan mempunyai asas kehakiman yang kukuh, tempoh menunggu yang singkat akhirnya akan memberi manfaat kepadanya dari sudut pandangan masyarakat.
Kenyataan itu turut menyebut Najib sudah menyebabkan negara menanggung kerugian RM2.32 bilion menerusi kes SRC dan 1MDB-Tanore, justeru beliau perlu mengelak daripada mendesak proses berkenaan dipercepatkan sehingga menjejaskan lagi kedaulatan undang-undang serta keyakinan awam terhadap demokrasi berparlimen.
Menurut mereka, tiada tekanan politik atau kempen awam sepatutnya digunakan untuk mempercepatkan pelaksanaan sesuatu perintah yang status perundangannya masih belum dimuktamadkan.
"Kepercayaan awam menuntut supaya setiap kekaburan diselesaikan secara telus dan mengikut undang-undang sebelum tahanan rumah Najib dilaksanakan," kata mereka.
DALAM pada itu, Projek SAMA, C4 Center dan Bersih berkata, AGC sepatutnya mendedahkan kepada umum pendapat bertulis Peguam Negara berhubung permohonan tahanan rumah Najib.
Mereka berpandangan masyarakat berhak mengetahui bagaimana tahanan rumah Najib dikawal selia dan asas perundangan yang membolehkannya dilaksanakan.
"Walaupun agak lewat, tindakan AGC mengenal pasti kekaburan atau kesilapan berkaitan istilah 'pelepasan' itu wajar dipuji. AGC tidak sepatutnya ditekan atau dihukum atas faktor politik kerana menjalankan peranannya," menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga organisasi itu turut mengulangi tuntutan supaya semua dokumen berkaitan didedahkan sepenuhnya, termasuk hujahan bertulis Peguam Negara, pendirian Menteri Wilayah Persekutuan, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan serta sebarang instrumen perundangan atau kawal selia yang menggariskan pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Mereka turut memetik peribahasa Melayu, 'berani kerana benar, takut kerana salah' sambil menegaskan pihak yang benar-benar yakin terhadap kesahihan pengampunan dan tahanan rumah Najib sepatutnya menyokong tuntutan berkenaan.