SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang yang mengakibatkan kematian seekor anjing baru-baru ini.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, operasi berkenaan dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk penggunaan gelung (loop) dan jaring sebagai kaedah menangkap haiwan terbabit.
Menurutnya, insiden yang mengakibatkan kematian anjing itu berlaku selepas seorang individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan bertindak mengganggu operasi sehingga berlaku perebutan.
"Pada operasi malam tersebut, kita berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama penduduk, cuma insiden berlaku ketika kita cuba menangkap anjing yang ke-13," katanya ketika ditemui di lobi Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif, termasuk mengugut anggota penguat kuasa menggunakan pisau serta menghalang mereka daripada menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat sehingga menyebabkan kematian haiwan.
Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, perebutan dengan individu yang mengaku sebagai pemilik anjing itu menyebabkan haiwan itu terjerut sebelum mati.
Beliau berkata, individu yang mendakwa sebagai pemilik anjing sepatutnya membuat tuntutan selepas haiwan itu ditangkap mengikut prosedur yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, individu terbabit kemudiannya mendakwa anjing tersebut bukan miliknya.
"Kalau ikut kenyataan awal, lelaki itu mendakwa anjing itu miliknya, tetapi akhirnya menafikan dan kami serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut.
"Setakat ini, dua pegawai MBDK yang berkaitan telah dipanggil bagi memberi keterangan di balai polis," katanya.
Abd Hamid turut menjelaskan bahawa kaedah menangkap anjing liar perlu mengambil kira faktor keselamatan anggota penguat kuasa serta penduduk kerana haiwan terbabit boleh bertindak agresif.
"Kalau kita tangkap anjing macam tangkap rama-rama mungkin berbeza. Anjing ialah haiwan yang agresif, jadi kita tidak boleh menangkapnya secara terlalu berlemah lembut kerana ia boleh membahayakan anggota dan juga berisiko terlepas," katanya.
Beliau berkata, notis pemakluman mengenai operasi tangkapan anjing liar diberikan lebih awal menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), manakala operasi itu membabitkan 11 anggota MBDK bersama kira-kira 50 penduduk.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk.
"Kita menerima kira-kira 50 aduan berkaitan anjing liar setiap bulan. Masalah ini agak kritikal di kawasan berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan aduan yang diterima," ujarnya.
Abd Hamid berkata, pihaknya turut berdepan kekangan dalam menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta untuk menjalankan operasi tangkapan.
"Kita cuba mendapatkan syarikat swasta untuk menjalankan kerja tangkapan, tetapi tiada yang bersedia dan usaha ini dilaksanakan sendiri oleh kakitangan majlis.
"Kakitangan kita kurang daripada 20 orang sedangkan aduan yang diterima banyak dan kawasan Klang sangat luas.
"Anjing pula kebanyakan berada di kawasan industri serta perumahan dan biasanya keluar pada waktu malam menyebabkan ia sukar ditangkap dengan segera," katanya.