KUALA LUMPUR – Ketika sebahagian warga kota mula memperlahankan rentak kaki selepas seharian bekerja, berbeza pula kisahnya dengan sekumpulan pelari yang memilih untuk menghidupkan malam dengan langkah dan peluh.
Bagi komuniti Kuala Lumpur Night Runners (KLNR), Selasa bukan sekadar waktu berehat, sebaliknya menjadi ruang untuk mengumpulkan komuniti menerusi aktiviti larian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga kota.
Bermula jam 8 malam dengan Padang Merbok sebagai lokasi berkumpul, aktiviti larian malam itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi minat sama terhadap sukan larian dan gaya hidup aktif.
Komuniti tersebut ditubuhkan pada 2019 oleh presidennya, Mohd Rasidy Darmawan dengan matlamat menjadikan aktiviti larian sebagai satu wadah lebih terbuka, santai dan mampu dinikmati setiap lapisan masyarakat.
Menariknya, larian malam yang dianjurkan bukan semata-mata tentang siapa paling pantas tiba di garisan penamat.
Tetapi, ia juga medan untuk peserta mengenali kemampuan diri dan mengutamakan kesihatan di samping membina jaringan sosial, berkenalan dengan rakan baharu serta mendapatkan motivasi untuk terus aktif.
Bagi tenaga pengajar KLNR, Megat Zaim Zharif Megat Nawawi, 35, larian malam memberikan pengalaman berbeza berbanding waktu pagi atau siang.
Katanya, suhu waktu malam yang nyaman dengan keadaan sekeliling tidak terlalu sibuk membolehkan peserta menikmati larian dengan lebih santai mengikut kelajuan dan intensiti masing-masing.
“Padang Merbok pula menjadi lokasi yang cukup strategik untuk kami berkumpul sebelum bergerak ke lokasi lain kerana kedudukannya di tengah ibu kota serta dikelilingi mercu tanda dan kawasan hijau.
“Dalam kesibukan Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, aktiviti ini menjadi pilihan peserta kami yang purata setiap minggu boleh mencapai 80 hingga 100 orang. KLNR pernah uruskan lebih 300 orang dalam satu masa.
“Boleh dikatakan, larian sosial kini salah satu aktiviti sukan yang menjadi pilihan utama dalam meningkatkan kecergasan dan stamina individu kerana ia mudah serta tidak terikat dengan keadaan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.
Megat Zaim Zharif memaklumkan, KLNR tidak tertumpu kepada satu spot sahaja kerana pihaknya berpendapat masih banyak kawasan larian boleh diteroka antaranya laluan Bukit Tunku yang menjadi kegemaran ramai.
Jelasnya lagi, larian komuniti KLNR yang berstruktur melibatkan jarak antara lima, lapan hingga 10 kilometer (km), namun masa untuk diselesaikan bergantung kepada kemampuan masing-masing.
“Ada pacer dan sweeper yang akan pantau setiap peserta. KLNR pastikan tiada siapapun tertinggal ataupun stres kerana perlu mengikut pace orang lain.
“Kami juga ajar postur berlari dan teknik pernafasan yang betul supaya peserta mendapat rentak masing-masing dan beradaptasi dengan tubuh badan secara berperingkat.
“Konsep larian santai ini secara tidak langsung membantu mengubah stereotaip bahawa larian adalah aktiviti yang hanya sesuai untuk atlet atau individu dengan tahap kecergasan tinggi. Semua orang boleh berlari,” ujarnya.
KLNR boleh disertai secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan umur termasuk golongan yang ingin menyertai pertandingan larian namun memerlukan platform untuk berlatih dalam kumpulan.
Ditanya tentang persepsi sukan malam merisikokan tubuh badan khususnya jantung, Megat Zaim Zharif memberikan pendapat yang cukup realistik.
Pada hemat beliau, tanggapan itu tidak semestinya benar kerana manfaat sesuatu aktiviti fizikal bergantung kepada cara ia dilakukan serta kemampuan setiap individu.
Menurutnya, tiada keperluan untuk seseorang itu memaksa diri dengan mengikut kemampuan orang lain ketika menyertai larian malam.
“Kita tak boleh menolak fitrah manusia ditetapkan pagi untuk bekerja dan malam pula untuk berehat.
“Tetapi, kena tengok kepada gaya hidup seseorang itu. Kalau terlalu bersukan melebihi had kemampuan tubuh badan tak boleh juga.
“Terlalu push the limit demi memuaskan hati sendiri dan orang lain, itu antara penyumbang risiko tapi kalau kita ada ilmu dan buat persediaan terbaik sebelum berlari, insya-ALLAH okay.
“Cuma tak boleh ego dengan diri sendiri, bila tengok orang lari 10km kita pun nak buat sedangkan keadaan badan tak mengizinkan.
“Penting untuk peserta mengenali dan memahami keadaan kesihatan terlebih dahulu sebelum buat apa-apa aktiviti fizikal,” jelasnya.
Dalam masa sama, pemuda tersebut mengakui gembira melihat masyarakat yang semakin cakna dengan kesihatan masing-masing.
“Larian boleh untuk semua orang, kita raikan sahaja yang baharu termasuk orang lama.
“Persekitaran dalam komuniti larian semakin bagus walaupun tidak dinafikan ada toksiknya juga bila dah terlalu ramai yang sertai aktiviti ini.
“Tetapi, KLNR cuba terapkan perkara positif sahaja kerana sasarannya mahu pastikan rakyat Malaysia semakin ambil peduli tahap kesihatan dan kita juga boleh kurangkan obesiti di negara ini,” kata Megat Zaim Zharif.