'Tunku Azizah', 'Tun Hasmah' cilik curi tumpuan

Iklan
Adriana Sofia (kiri) dan Adelia Qaisara (kanan)

SHAH ALAM - Gelagat dua beradik yang lengkap berbusana meniru dua tokoh wanita negara mencuri perhatian warganet ketika menyertai pertandingan sempena Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial Threads, Adriana Sofia Muhammad Al-Adli, 9, memilih untuk tampil sebagai Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, manakala adiknya, Adelia Qaisara Muhammad Al-Adli, 7, menggayakan penampilan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Iklan
Iklan

Ibu mereka, Kamisah Kamarudzaman, 35, berkata, idea tersebut tercetus susulan galakan pihak sekolah agar pelajar mengenakan busana yang melambangkan tokoh-tokoh negarawan sempena bulan kemerdekaan.

Menurutnya, Adriana memilih Tunku Azizah atas kehendaknya sendiri kerana kagum terhadap keperibadian baginda yang disifatkan sangat berjiwa rakyat dan penyayang.

Iklan

"Kekaguman terhadap Tunku Azizah timbul sejak usianya tujuh tahun.

"Antara yang memikat hatinya adalah keunikan aktiviti baginda memasak bersama masyarakat di perkampungan serta kemesraan baginda ketika muncul secara langsung di media sosial," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Bagi Adelia pula, Kamisah berkongsi bahawa anaknya yang baru memasuki Tahun Satu pada mulanya belum mengenali tokoh-tokoh negarawan sebelum memilih untuk menggayakan busana seperti Tun Dr Hasmah.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas Adelia mengetahui sepupunya akan berpakaian mengikut gaya Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum dia dengan serta-merta memilih untuk membawakan watak sebagai isterinya.

Lebih bermakna, pengalaman itu turut menyemarakkan impian mereka untuk mencontohi keperibadian kedua-dua tokoh berkenaan yang mereka jadikan sebagai idola.

"Sepanjang seminggu persiapan dibuat, Adelia banyak bertanyakan kepada saya tentang keperibadian, kerjaya dan sumbangan Tun Dr Hasmah.

"Dia amat kagum dengan kejayaan tokoh tersebut sebagai seorang wanita yang memegang profesion mulia sebagai doktor," ujarnya.

Kamisah berkata, kedua-dua anaknya mempamerkan semangat luar biasa sepanjang tempoh persiapan hingga ke hari kemuncak, terutamanya ketika mengenakan busana pilihan masing-masing.

Walaupun hanya meraih hadiah sagu hati dalam pertandingan berkenaan, Adriana dan Adelia tetap menganggap pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

"Bila ditanya, mereka menjawab, 'tak mengapa, kami menang di hati rakyat Malaysia'.

“Mereka memasang impian untuk mencontohi keperibadian Tunku Azizah dan Tun Dr Hasmah yang penyayang serta ingin berjaya dalam kerjaya apabila besar nanti,” katanya.