BUKIT JALIL - Penduduk sekitar Bukit Jalil, Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil di sini mahu tanah seluas 26 hektar yang dicadangkan untuk pembangunan 17,000 unit apartmen di Bukit Jalil ditukar kepada projek kemudahan awam di kawasan sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Zainuddin Zainal berkata, antara kemudahan yang dicadangkan termasuk stesen LRT atau MRT, sekolah dan hospital.
Menurutnya, penduduk menolak sepenuhnya cadangan pembinaan 17,000 unit apartmen di kawasan itu dan mahu kerajaan mempertimbangkan penggunaan tanah bagi kemudahan yang lebih diperlukan komuniti setempat.
"Tiga perkara yang kita minta iaitu menukar cara guna tanah daripada pembinaan 17,000 unit apartmen kepada pembinaan sistem rel, sekolah dan hospital," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 300 penduduk dari tiga kawasan perumahan di sini menghadiri sesi dialog serta perhimpunan aman bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan pembangunan berkenaan.
Zainuddin memberitahu, cadangan pembangunan 17,000 unit apartmen itu juga menimbulkan persoalan berhubung kepadatan projek berbanding keluasan tanah yang terbabit.
Beliau menjelaskan, projek itu dicadangkan dibangunkan di atas tanah seluas 26 hektar sedangkan PPR Pinggiran Bukit Jalil mempunyai kira-kira 3,800 unit apartmen di atas kawasan seluas 20.4 hektar.
Beliau berkata, keadaan trafik di Lebuhraya Bukit Jalil dan Persiaran Puncak Jalil ketika ini juga didakwa sudah berada pada tahap yang membimbangkan.
"Keadaan dua jalan iaitu Lebuhraya Bukit Jalil dan Persiaran Puncak Jalil pun dah sesak, apatah lagi jika pembangunan ini diteruskan.
"Berdasarkan tahap perkhidmatan jalan atau Level of Service (LOS), kita menjangkakan kedua-duanya sudah berada pada tahap D dan hampir ke F," jelas beliau.
Zainuddin memberitahu, jawatankuasa bantahan turut menyediakan memorandum yang akan dihantar kepada Perdana Menteri melalui Datuk Bandar Kuala Lumpur.