PRK DUN Selangor bergantung keputusan Speaker, SPR - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bergantung kepada keputusan Speaker DUN sebelum ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Speaker DUN terlebih dahulu akan memuktamadkan kedudukan kerusi berkenaan sebelum perkara itu diserahkan kepada SPR untuk tindakan lanjut.

"Kita kena akur kerana ia adalah keputusan suruhanjaya (SPR) berdasarkan pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Amirudin memaklumkan, Speaker DUN Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang ADUN pada Isnin.

Iklan

Amirudin menjelaskan, perkara itu kini sedang diteliti bersama penasihat undang-undang negeri bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebelum ini, timbul dakwaan Selangor mungkin berdepan PRK susulan isu hilang kelayakan membabitkan status seorang ADUN yang didakwa boleh menyebabkan kekosongan kerusi

Mengulas kemungkinan PRK itu tetap diadakan memandangkan tempoh penggal DUN semakin hampir ke penghujung, Amirudin menegaskan perkara itu bukan ditentukan kerajaan negeri.

"SPR akan membuat pertimbangan sama ada tempoh berbaki mencukupi atau sebaliknya dan sama ada perlu diadakan PRK. Jika perlu diadakan, kita akur kerana itu keputusan suruhanjaya," katanya.

Beliau turut memaklumkan pejabat Speaker dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan kerusi itu dalam masa terdekat.