KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada institusi diraja.
Baginda bertitah, mereka juga perlu melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan di samping mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
"Beta merakamkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos 2026 semalam.
"Beta juga menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah menabur bakti dan memberikan perkhidmatan sepanjang penggal yang lalu," titahnya pada Majlis Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, pada Ahad.
Titah baginda lagi, semua calon yang tidak berjaya dalam pilihan raya kali ini agar dapat terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Negeri Sembilan.
Menurut baginda, tugas setiap ADUN adalah amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan dan permasalahan rakyat ke Dewan yang mulia.
"Justeru, setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
"Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi," titahnya.
Baginda bertitah lagi bahawa negeri ini memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti yang tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni.
"Beta turut menegaskan bahawa setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
"Sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan yang diberikan bukan sahaja akan mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar yang dirangka demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri," titah baginda lagi.
Selain itu, baginda turut menaruh kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.
"Beta berpesan agar kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu, diteruskan dan diperbaiki sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan," titahnya.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan bahawa setiap agama, kaum dan budaya mempunyai nilai-nilai murni serta tradisi yang wajar dihormati dan dipelihara.
Titah baginda, sikap saling memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat kita hendaklah terus dipupuk dalam kalangan seluruh rakyat.
"Beta percaya bahawa dengan menjunjung nilai hormat menghormati, toleransi dan semangat muafakat, kita akan dapat memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
"Inilah asas penting yang akan memastikan Negeri Sembilan terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk dinikmati oleh generasi kini dan akan datang," titahnya.