Proklamasi: Sekretariat Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dakwa kenyataan AGC mengelirukan

Iklan
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) didakwa mengelirukan apabila memberi gambaran seolah-olah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan bertindak secara salah dalam isu penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan media dikeluarkan berkata, keputusan berkenaan dibuat oleh Undang Yang Empat berdasarkan kuasa prerogatif mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 turut mensyaratkan Menteri Besar menandatangani proklamasi berkenaan.

Pihaknya turut berpandangan bahawa AGC tidak berhak mencampuri hal ehwal dalam Negeri Sembilan dan tidak sepatutnya bertindak sebagai hakim untuk mempertikaikan keputusan MMK.

Iklan

Selain itu, bagi mengelakkan kekeliruan rakyat, pihaknya memaklumkan bahawa penyiasatan terhadap salah laku Tuanku Muhriz telah dijalankan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, sebelum disusuli siasatan lanjutan oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026.

"Laporan siasatan yang membutirkan salah laku baginda turut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 26 Ogos 2026 sebagai sembah maklum.

Iklan

"Pihak kami percaya bahawa senarai salah laku itu juga dalam makluman AGC," katanya.

Justeru, katanya, fakta berkenaan jelas menunjukkan proses dan tatacara yang dikehendaki di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 telah dipatuhi sebelum Proklamasi 19 April 2026 dikeluarkan, bermula dengan siasatan awal pada 5 Mac dan disusuli siasatan lanjutan pada 19 April.

Jelasnya, perkara itu bercanggah secara langsung dengan dakwaan AGC yang menyatakan tiada fakta menunjukkan pematuhan terhadap tatacara berkenaan.

"Dakwaan bahawa tiada proses siasatan dijalankan menunjukkan bahawa nasihat yang diberikan itu tidak berdasarkan maklumat dan fakta yang tepat serta lengkap berhubung urutan peristiwa sebenar.

"Berhubung prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban yang dirujuk AGC sebagai masih berjalan, dimaklumkan yang prosiding itu hanya menyentuh isu tuntutan mengemukakan minit mesyuarat DKU bertarikh 17 April 2026 dan tidak langsung menyentuh persoalan keabsahan Proklamasi 19 April 2026," katanya.

Tambahnya, terdapat satu lagi prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak disebut AGC berkaitan permohonan writ mandamus, yang mana Menteri Besar telah melaksanakan kewajipannya di bawah Perkara 10 dengan sempurna.

Berhubung 'interlocutory injunction' yang dirujuk dalam kenyataan AGC, pihaknya menjelaskan bahawa ia sebenarnya adalah injunksi ad interim yang antara lain berkaitan DKU untuk mengekalkan status quo sehingga 21 Mei 2026.

"Berdasarkan status quo setakat 21 Mei 2026, perlu dijelaskan bahawa pada tarikh tersebut, Undang Yang Empat yang sah dan diiktiraf ialah Dato' Klana Petra Datuk Mubarak Thahak (Undang Luak Sungei Ujong), Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu), Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Mohammed Abdullah (Undang Luak Johol), dan Dato' Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau), berserta Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

"Susunan keahlian inilah yang membentuk status quo DKU yang dilindungi oleh perintah mahkamah pada 21 Mei 2026, bukan senarai Undang yang diperkenalkan kemudian menerusi mesyuarat 31 Julai atau 13 September 2026," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa AGC meneliti semula kenyataannya berdasarkan fakta sebenar sebelum sebarang pandangan lanjut dikeluarkan kepada umum.

Katanya, persoalan pematuhan tatacara adat di bawah Perkara 10 merupakan persoalan adat Melayu yang tertakluk kepada prinsip kemuktamadan nasihat Dewan di bawah Perkara 16(3) UUTKNS 1959.

"Ia bukan perkara yang wajar disentuh secara sepihak oleh mana-mana jabatan eksekutif sebelum ia dirujuk kepada DKU atau diputuskan mahkamah," katanya.

Selain itu, pihaknya juga mengesyorkan Setiausaha Kerajaan(SUK) Negeri Sembilan meletakkan jawatan serta-merta atau, secara alternatif, tindakan tatatertib dimulakan terhadapnya susulan tindakannya yang mencabar keabsahan proklamasi berkenaan.

Tegasnya, kerajaan negeri wajib mematuhi arahan “Government of the day” bukan menerima arahan daripada pihak luar yang tidak berkenaan dengan pentadbiran negeri.

"Pihak kami ingin menegaskan bahawa pewartaan proklamasi itu bukanlah syarat kepada keabsahan proklamasi, tetapi proklamasi di bawah Perkara 10(2) menjadi sah dan sempurna apabila semua penandatangan telah menurunkan tandatangan, dan tidak disyaratkan pengwartaan di bawah UUTKNS," katanya.