'No komen' - SUK Negeri Sembilan elak jawab isu proklamasi takhta Tuanku Muhriz

Iklan
Mohd Zafir mengelak ditanya pemberita berkenaan isu proklamasi ketika ditemui di Masjid Diraja Tuanku Munawir.

KUALA PILAH - Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim mengelak ketika cuba ditanya pemberita berkenaan isu proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau yang ditemui sebaik selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir di sini bergegas pergi apabila diasak pemberita.

Iklan
Iklan

"Saya no komen, no komen," katanya sambil tersenyum ketika pemberita cuba bertanya mengenai perkara itu.

Sebelum ini menerusi kenyataan media dikeluarkan, beliau memaklumkan bahawa pentadbiran Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April 2026.

Iklan

Menurutnya, tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.

"Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui satu kenyataan media pada 17 September 2026 telah menyatakan antara lain bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959," katanya.

Iklan

Menurutnya, dari segi perundangan, pentadbiran akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.

Jelasnya, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.

"Berdasarkan perkara-perkara di atas dan keseluruhan kenyataan media AGC pada 17 September 2026, pentadbiran ini menerima nasihat berkenaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi tersebut kerana tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.

"Pentadbiran ini juga telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang negeri, bagi memastikan bahawa apa jua tindakan yang perlu diambil akan dilaksanakan mengikut UUTKNS 1959," katanya.

Kenyataan terbabit dikeluarkan susulan, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada mesyuarat 15 September lalu.