PUNCAK ALAM – Inisiatif Dapur Siswa MADANI @ Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperlihatkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa apabila UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam berjaya melaksanakan program penyediaan dan agihan juadah makanan kepada 800 pelajar yang masih berada di kampus.
Program yang berlangsung dengan penuh meriah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam menyokong kesejahteraan mahasiswa, khususnya dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup serta memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Majlis agihan juadah makanan telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr Mohammed Hardy Loh Rahim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Cawangan Selangor, yang turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang menjayakan inisiatif berkenaan.
Menurut Mohammed Hardy, pelaksanaan Dapur Siswa MADANI bukan sekadar menyediakan bantuan makanan, malah mencerminkan nilai empati, kebersamaan dan tanggungjawab sosial warga universiti terhadap kesejahteraan mahasiswa.
“Kebajikan mahasiswa merupakan amanah besar yang sentiasa menjadi keutamaan Hal Ehwal Pelajar.
“Program seperti Dapur Siswa MADANI membuktikan bahawa kekuatan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga melalui keprihatinan terhadap keperluan dan kesejahteraan warga mahasiswanya,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan melalui program tersebut selaras dengan aspirasi UiTM untuk membangunkan ekosistem kampus yang lebih prihatin, inklusif dan mampan.
“Kita mahu memastikan tiada mahasiswa berasa terpinggir atau terbeban dalam menjalani kehidupan kampus.
“Melalui kerjasama erat antara jabatan, fakulti, pelajar dan rakan strategik, kita dapat mewujudkan satu budaya saling membantu yang menjadi kekuatan komuniti UiTM,” katanya.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Unit Hal Ehwal Islam serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, dengan sokongan penglibatan aktif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Staf Residen Kolej (SRK) yang berganding bahu dalam penyediaan serta pengagihan makanan kepada warga kolej.
Dapur Siswa MADANI merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu menangani isu kebajikan mahasiswa, khususnya berkaitan keterjaminan makanan dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi.
Inisiatif ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyediakan makanan sendiri dalam persekitaran yang kondusif, di samping menerima sokongan bahan mentah bagi membantu mengurangkan beban kewangan akibat peningkatan kos sara hidup.
Pendekatan ini bukan sahaja bersifat bantuan jangka pendek, malah turut menggalakkan budaya berdikari, berjimat cermat dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa.
Di UiTM Cawangan Selangor, pelaksanaan Dapur Siswa MADANI diperluaskan dengan penyaluran manfaat kepada mahasiswa di Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Dengkil, sekali gus memperlihatkan usaha universiti memastikan kebajikan pelajar dapat dicapai secara lebih menyeluruh.
Kerjasama rentas jabatan dan penglibatan komuniti kampus ini membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.
Melalui pendekatan ini, Dapur Siswa MADANI @ UiTM bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan universiti terhadap mahasiswa, malah menjadi manifestasi semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan, keterangkuman dan kebersamaan dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera.