KAJANG – Pemandu Perodua Aruz yang merempuh tiga beranak hingga maut di Jalan Batu 17, Hulu Langat, di sini pada Rabu direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, reman terhadap pemandu terbabit bermula pada Khamis.
Iklan
Iklan
“Siasatan kes ini masih dijalankan dan orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dalam kejadian pada jam 7.56 pagi itu, tiga beranak yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian selepas dirempuh kereta yang dipandu lelaki berusia 42 tahun yang memasuki laluan mangsa.
Mangsa dikenali sebagai Hafifi Rahman Rahmat, 34; isterinya, Nik Aishah Asilan Nik Mohd Zamzuri, 32; serta anak mereka yang berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal.
Semakan polis mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah, selain ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.