TAWAU - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai merogol jirannya yang juga remaja berusia 19 tahun dalam kejadian di sebuah kampung di daerah ini pada Selasa lalu.
Suspek berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting ditahan kira-kira jam 10 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, mangsa mendakwa dirogol suspek yang dikenalinya dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.
"Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke kediamannya untuk membantu membaiki telefon bimbit miliknya.
"Suspek bagaimanapun dipercayai membawa mangsa ke bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan individu masuk ke dalam rumah sesuka hati walaupun jiran atau kenalan, terutama ketika bersendirian.
"Pastikan keselamatan diri diutamakan dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko.
"Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.