IPOH - Sepupu kepada Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Ezzati Azmi antara remaja yang maut dalam kemalangan membabitkan 15 kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi Sabtu.
Muhammad Faiz Danial Jumri, 20, merupakan antara tiga remaja yang maut dan sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta itu.
Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tragedi yang berlaku pada pagi Sabtu itu amat menyedihkan apabila beberapa anak muda kehilangan nyawa manakala beberapa lagi mangsa masih menerima rawatan.
Menurutnya, seluruh kepimpinan dan keluarga besar Srikandi Bersatu Malaysia merakamkan salam takziah kepada Nurul Ezzati dan keluarga serta semua keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
“Saya mewakili seluruh kepimpinan dan keluarga besar Srikandi Bersatu Malaysia merakamkan salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada beliau dan keluarga, serta kepada semua keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.
Terdahulu media melaporkan tiga remaja lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi.
Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru Raya menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, seluruh kepimpinan Srikandi Bersatu Malaysia mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala dosa mangsa, merahmati roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
Katanya, doa turut dipanjatkan buat mangsa yang sedang menerima rawatan supaya diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.