BANDAR PERMAISURI - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Sungai Tong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Supt Zahril Asri Mohd Zain berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.01 tengah malam dan mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Assfarizal Salim, 44, beralamat di Taman Balok Pelangi, Kuantan, Pahang.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.30 malam, apabila MPV jenis Perodua Alza berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bahagian hadapan sebuah treler jenis Volvo.
"Akibat kemalangan itu, pemandu MPV terbabit tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba Setiu sebelum dibawa ke Hospital Setiu kerana mengalami kecederaan parah, sebelum meninggal dunia kira-kira 4.10 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahril Asri berkata, pemandu treler yang dalam perjalanan dari arah Jertih menuju ke Kuantan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta mana-mana saksi kejadian tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Daerah Setiu atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 bagi membantu siasatan. - Bernama