KUALA LUMPUR - Waris tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) pada 14 September 2017 lalu menggesa pihak berkuasa membuka semula kertas siasatan berhubung kemungkinan pelanggaran undang-undang dan peraturan keselamatan bangunan yang didakwa menyumbang kepada kejadian itu.
Gesaan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu memutuskan tuntutan sivil berkaitan kecuaian dan ketinggalan pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan serta pemilikan bangunan berkenaan.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Asif Zahari berkata, waris dan mangsa yang cedera membuat laporan polis lanjutan di Balai Polis Pudu bagi meminta siasatan lanjut berdasarkan dapatan mahkamah berkenaan.
Menurutnya, laporan itu bukan laporan polis pertama dibuat keluarga mangsa, sebaliknya susulan kepada laporan terdahulu sejak 2017.
"Laporan polis sebenarnya telah dibuat sejak daripada tahun 2017 lagi, selepas itu, laporan susulan juga telah dibuat.
"Namun, laporan kali ini dibuat berikutan dapatan Mahkamah Tinggi selepas keputusan pada 10 Februari 2026, yang menyatakan beberapa fakta penting untuk pihak polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pada Sabtu.
Asif berkata, antara perkara yang diminta disiasat ialah kemungkinan pelanggaran undang-undang terlibat.
"Antaranya melibatkan pengubahsuaian bangunan, keperluan mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) serta pematuhan terhadap aspek keselamatan premis juga berkenaan keselamatan kebakaran.
"Berdasarkan dapatan-dapatan ini, fakta yang telah mahkamah sahkan melalui keterangan saksi, kita percaya pihak polis boleh mengambil siasatan lanjut dan tindakan terhadap pihak-pihak berkenaan,” katanya.
Terdahulu, dalam penghakiman bertulis, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Suzana Muhamad Said antara lain menyatakan pihak-pihak defendan gagal memastikan keselamatan penghuni bangunan sementara berkenaan.
Mahkamah turut merujuk laporan siasatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengesahkan berlaku pengubahsuaian terhadap bangunan tiga tingkat di atas Lot 1274 dan Lot 1400, Seksyen 100, Jalan Keramat, Kampung Datuk Keramat.
Antara isu keselamatan yang dinyatakan termasuk dua pintu keluar masuk yang dijadikan satu, pengurangan dua tangga kepada satu serta ketiadaan alat pemadam kebakaran, gelung hos kebakaran (*fire hose reel*) di tingkat tiga dan pintu rintangan api selama dua jam.
Penghakiman itu turut menyebut kewujudan jeriji besi kekal di semua tingkat serta bilangan penghuni asrama yang melebihi had dibenarkan.
Menurut dapatan mahkamah, bilangan penghuni bilik yang sepatutnya 29 orang meningkat kepada 42 orang, dengan 21 katil dua tingkat, manakala seramai 36 penghuni berada di bilik itu ketika kejadian.
Mahkamah dalam penghakiman bertulis turut berpandangan bahawa sekiranya pengubahsuaian yang tidak mematuhi aspek keselamatan itu tidak dilakukan, api berkemungkinan dapat dikawal dengan segera dan pelajar mempunyai laluan keluar tambahan untuk menyelamatkan diri.
Media sebelum ini melaporkan tragedi kebakaran DQI pada pagi 14 September 2017 mengorbankan 23 nyawa, terdiri daripada 21 pelajar dan dua guru, selain menyebabkan beberapa pelajar lain cedera.
Dalam tindakan sivil yang diputuskan pada 10 Februari 2026, Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pengurusan tahfiz dan pemilik berdaftar tanah mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan penghuni bangunan berkenaan.
Mahkamah turut memutuskan defendan-defendan cuai dalam memastikan keadaan dan keselamatan penghuni bangunan sementara itu, berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dalam pada itu, Asif berkata, dapatan berkenaan menjadi antara asas kepada permohonan waris supaya siasatan diperluaskan kepada aspek pematuhan peraturan bangunan dan keselamatan kebakaran.
Beliau berkata, laporan polis lanjutan itu turut meminta pihak berkuasa meneliti kemungkinan kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Bangunan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1985 serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
Selain itu, laporan berkenaan turut membangkitkan isu berkaitan pelesenan premis, pematuhan pelan bangunan yang diluluskan serta tanggungjawab pihak pemegang amanah tanah wakaf.
Asif berkata, waris berharap pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), JBPM, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa berkaitan dapat meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan.
"Usaha itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan bangunan, khususnya di institusi tahfiz dan premis pendidikan.
"Pihak waris mahu mana-mana pihak yang mempunyai institusi tahfiz atau pendidikan mengambil langkah sewajarnya, khususnya berkaitan keselamatan penghuni dan anak-anak pelajar," katanya.