HANOI - Timbalan Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, Hoang Trung ditahan atas pertuduhan menerima rasuah dalam siasatan rasuah yang semakin meluas berkaitan eksport durian ke China, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kementerian Keselamatan Awam memaklumkan Hoang disiasat kerana disyaki menerima rasuah mengikut Artikel 354 Kanun Keseksaan dalam kes membabitkan Pusat Perkhidmatan Pengujian, Pensijilan dan Kualiti, NhoNho Technology Co Ltd, Thuy Fruit One Member Co Ltd serta beberapa organisasi dan individu lain yang terlibat dalam eksport durian ke China.
Jabatan Siasatan Jenayah Rasuah, Ekonomi dan Penyeludupan di bawah Agensi Polis Siasatan berkata, siasatan mendapati Hoang dan Timbalan Pengarah Jabatan Pengeluaran Tanaman dan Perlindungan Tumbuhan, Nguyen Quang Hieu disyaki menyalahgunakan kedudukan masing-masing untuk mengeluarkan dasar yang menyalahi undang-undang serta memperkenalkan apa yang disebut sebagai"lesen tambahan” demi kepentingan pihak tertentu.
Tindakan itu didakwa membolehkan mereka memperoleh keuntungan secara tidak sah dalam jumlah yang amat besar.
Polis turut mendakwa tertuduh campur tangan dalam prosedur rasmi dan mengarahkan pegawai bawahan mengeluarkan sijil pengujian palsu serta kod kawasan penanaman, selain memudahkan urus niaga haram membabitkan kod kawasan penanaman dan kod kemudahan pembungkusan.
Menurut polis, salah laku itu menjejaskan secara serius hak dan kepentingan sah penanam durian serta syarikat pengeksport, menyebabkan kerugian besar kepada perbendaharaan negara dan mencemarkan reputasi serta jenama sektor pertanian Vietnam.
Kementerian Keselamatan Awam turut mendakwa dan menahan Ketua Bahagian Kuarantin Tumbuhan Divisyen No 7 di bawah Jabatan Pengeluaran Tanaman dan Perlindungan Tumbuhan, Nguyen Thi Ha serta Ketua Stesen Kuarantin Tumbuhan, Huu Nghi-Lang Son Be Thi Thu Hien.
Kedua-duanya didakwa atas kesalahan memalsukan dokumen dalam menjalankan tugas rasmi mengikut Artikel 359 Kanun Keseksaan.
Polis berkata siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan agensi pengurusan kerajaan, organisasi pengujian dan entiti yang diberikan kod kawasan penanaman serta kod kemudahan pembungkusan.
Pihak berkuasa berkata tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan sedia ada, di samping usaha mendapatkan semula aset negara yang berkaitan dengan kes berkenaan.
Siasatan turut diperluas bagi mengenal pasti pembabitan individu lain di agensi pengurusan kerajaan, organisasi pengujian serta entiti yang menerima kod kawasan penanaman dan kemudahan pembungkusan.
Sebelum ini, pada 28 Julai, Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam memutuskan untuk memecat Hoang daripada parti atas pelanggaran disiplin. - Bernama-VNS/VNA