Tanda pagar kecam Netanyahu 'trending'

Iklan
Tanda pagar tersebut menerima interaksi tinggi dalam tempoh singkat. - FOTO: Agensi

NEW YORK – Tanda pagar #NetanyahuCenturysMurderer yang membawa maksud ‘Netanyahu Pembunuh Abad Ini’, menjadi antara trend utama di Turkiye ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Kempen media sosial itu menyaksikan pengguna berkongsi pelbagai hantaran mengenai perang Gaza dan keadaan kemanusiaan di wilayah Palestin berkenaan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan rekod trend media sosial pada 24 September, tanda pagar berkenaan sempat berada di kedudukan teratas di Turkiye sebelum kekal antara topik paling banyak diperkatakan untuk beberapa jam.

Gelombang bantahan dalam talian itu berlaku serentak dengan protes terhadap Netanyahu di PBB apabila sejumlah besar wakil negara meninggalkan dewan ketika beliau naik ke pentas untuk berucap.

Iklan

Tindakan beramai-ramai itu menyebabkan banyak kerusi di dalam dewan kelihatan kosong ketika ucapan berlangsung.

Pada masa sama, penyokong Palestin turut berhimpun di luar ibu pejabat PBB bagi membantah Netanyahu dan tindakan Israel di Gaza serta Tebing Barat.

Iklan

Menurut laporan media Turkiye tanda pagar tersebut menerima interaksi tinggi dalam tempoh singkat dan menjadi antara topik utama yang diperkatakan di negara itu.

Sebahagian pengguna turut berkongsi petikan ucapan dan mesej Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengenai Gaza dan Palestin menggunakan tanda pagar sama.

Protes di media sosial dan tindakan diplomat meninggalkan dewan berlangsung ketika perang Gaza terus menjadi antara isu utama yang mencetuskan perdebatan pada Perhimpunan Agung PBB kali ini. - Agensi