MP, pelakon terkenal disiasat kes penipuan

Iklan
Kenderaan mewah antara aset bernilai 65 juta baht yang disita dalam kes penipuan pertukaran mata wang asing. Foto Agensi

BANGKOK - Seorang Ahli Parlimen (MP) Thailand dan pelakon terkenal antara 34 suspek yang berdepan tindakan pendakwaan kerana disyaki terlibat dalam skim penipuan pelaburan pertukaran asing.

Ahli Parlimen Parti Rakyat, Pawoot Pongvitayapanu dan pelakon Rattapoom Tokongsup, yang lebih dikenali sebagai ‘Film’, dinamakan antara suspek selepas Jabatan Siasatan Khas Thailand (DSI) menyerahkan hasil siasatan kepada Pejabat Peguam Negara pada Khamis.

Iklan
Iklan

Kes itu membabitkan 24 individu dan 10 syarikat, manakala kertas siasatan yang diserahkan DSI mencecah 40,348 halaman.

Kesemua suspek berdepan beberapa pertuduhan termasuk pinjaman berkaitan penipuan, menjalankan perniagaan broker sekuriti dan derivatif tanpa lesen, memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer serta berkomplot melakukan pengubahan wang haram.

Iklan

Pawoot dan Rattapoom hadir ke pejabat DSI pada pagi Khamis.

Pawoot menafikan pertuduhan terhadapnya dan menegaskan beliau tidak pernah menawarkan perkhidmatan pertukaran asing.

Iklan

Beliau berkata, sebahagian besar pendapatan pelaburannya diperoleh daripada perdagangan emas.

Ia termasuk pendapatan sebanyak 28 juta baht (RM3.42 juta) yang dilaporkan diterimanya daripada QRS Global Co, sebuah daripada syarikat yang disyaki menerima wang daripada mangsa skim penipuan forex.

Pawoot turut hadir sebagai orang awam dan tidak menggunakan kekebalan sebagai ahli Parlimen.

Parti Rakyat pula memaklumkan ia tidak akan berusaha melindungi wakil rakyat berkenaan daripada tindakan undang-undang ketika Parlimen bersidang.

Sementara itu, Rattapoom berkata, beliau tidak bimbang dengan siasatan tersebut kerana telah menyerahkan semua bukti pembelaannya kepada DSI.

Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas DSI menyerbu 24 lokasi di Bangkok dan wilayah berhampiran.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menyita aset bernilai kira-kira 65 juta baht (RM7.92 juta) yang disyaki mempunyai kaitan dengan wang diperoleh daripada mangsa skim penipuan pertukaran asing. - Agensi