Kanada bersiap hadapi kemungkinan diserang AS?

Iklan
Tentera Kanada bersiap menghadapi segala kemungkinan. FOTO: Agensi

OTTAWA – Kanada mengambil kira kemungkinan berlaku tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu sebagai sebahagian daripada perancangan menghadapi senario ekstrem, meskipun Perdana Menteri, Mark Carney menegaskan risikonya sangat rendah.

Carney membuat kenyataan tersebut ketika ditanya The New York Times mengenai kemungkinan AS mengambil tindakan ketenteraan terhadap Kanada.

Iklan
Iklan

“Saya fikir mereka yang memegang jawatan seperti ini mempunyai tanggungjawab untuk melihat risiko ekstrem. Itu sekadar pengurusan risiko. Ia bukan senario asas,” katanya.

Kenyataan tersebut bukan bermaksud Ottawa menjangkakan serangan AS akan berlaku, sebaliknya menunjukkan kerajaan Kanada turut mempertimbangkan senario yang mempunyai kebarangkalian rendah tetapi boleh membawa kesan besar.

Iklan

Perkara itu mendapat perhatian susulan beberapa kenyataan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengenai Kanada.

Trump berulang kali membangkitkan idea Kanada menjadi negeri ke-51 AS, namun ketika ditanya pada Januari 2025 sama ada beliau akan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mendapatkan Kanada, beliau sebaliknya menyebut mengenai penggunaan tekanan ekonomi.

Iklan

Ketika bertemu Carney pada Mei, Trump sekali lagi membangkitkan kemungkinan Kanada menjadi sebahagian AS.

Carney ketika itu menegaskan Kanada tidak akan dijual, sebelum Trump membalas: “Jangan pernah kata tidak.”

Dalam perkembangan sama, kerajaan Carney sedang berusaha mengurangkan kebergantungan Kanada terhadap teknologi dan pembekal AS.

Antara langkah yang dipertimbangkan termasuk mencari alternatif kepada rangkaian satelit Starlink milik Elon Musk serta menilai semula rancangan pembelian 88 pesawat pejuang F-35 buatan AS.

Kanada pada masa sama meningkatkan hubungan strategiknya dengan Eropah dalam bidang termasuk pertahanan, tenaga, mineral kritikal dan kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, langkah itu tidak bermakna Ottawa mahu memutuskan hubungan dengan Washington.

Carney dilaporkan masih berhubung secara berkala dengan Trump, manakala Kanada dan AS mempunyai hubungan pertahanan yang telah lama terjalin termasuk menerusi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD).

Pendekatan baharu Ottawa sebaliknya bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada AS dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada Kanada sekiranya hubungan dengan Washington berdepan tekanan pada masa depan. - Agensi