KUALA TERENGGANU - Kes kehilangan meter air yang semakin berleluasa sekitar daerah ini dan Marang mencetuskan tanda tanya serta keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Isu berkenaan mendapat perhatian ramai selepas ditularkan di media sosial termasuk hantaran video mengenai kehilangan meter air terbaharu yang dikongsikan seorang pengguna media sosial, Fazari Ghazali pada Rabu.
Menurut Fazari, kejadian itu berlaku di Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu yang menyaksikan tiga meter air milik jirannya dicuri penjenayah dalam kejadian sebelah pagi.
"Baru semalam terbaca orang muat naik kes meter air kena curi. Bangun pagi ini tengok meter air jiran tiga biji kena curi," tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Beberapa hari sebelum itu, kes sama turut dilaporkan berlaku berhampiran sebuah premis makanan sekitar daerah Kuala Terengganu.
"Beberapa hari lepas ada orang kebas meter air dekat depan Restoran Labu Labi, berat sungguhlah... laporan pun sudah dibuat kepada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU)," ujarnya.
Hantaran berkenaan turut mendapat pelbagai respons daripada pengguna media sosial lain yang berkongsi pandangan serta pengalaman masing-masing.
Rata-rata mereka yang terkesan menyuarakan rasa terkilan kerana keadaan itu merencatkan aktiviti harian mereka terutama bagi yang bekerja dan bersekolah.
Mengulas mengenai situasi itu, seorang pengguna secara berseloroh menyokong tindakan tersebut kerana menyifatkan ia memberi kesedaran kepada pihak berkaitan akibat menempatkan meter air jauh dari rumah.
Selain itu, dia berharap beban kos penggantian tidak diletakkan ke atas bahu pemilik rumah.
"Biar ada sentiasa orang curi, sampai kena keluarkan kos untuk sambung paip sampai depan rumah," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial menggunakan nama 'White Salamander2130' turut merayu agar individu yang mengambil meter air di Teluk Menara, Manir memulangkannya semula.
"Mana-mana yang curi meter air dekat Teluk Menara, Manir itu tolonglah datang pasang semula, kemudian 'DM' (mesej terus) saya, saya beri duit kepada anda.
Selain itu, seorang lagi pengguna, Ahmadi Maliki turut berkongsi gambar kejadian meter air hilang yang berlaku di Kampung Pusu Tiga, Marang pada minggu lalu.
Dia menzahirkan rasa terkilan dengan tindakan mengalihkan kedudukan meter air yang disifatkan menyusahkan pengguna.
"Kejadian di Pusu 3 minggu lepas... Dulu depan rumah ada meter air, sekarang jauh di luar kawasan penempatan meter air (diletakkan).
"Hilang tahulah ganti... kalau tengah bersabun, budak-budak tutup pili meter, 'jem' lagi," luahnya.