KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan kebajikan anggota komando, Truper Abdul Hamid Talib tidak pernah diabaikan, sebaliknya pelbagai bentuk bantuan, rawatan perubatan dan sokongan berterusan telah disalurkan sejak beliau mengalami kecederaan serius pada 12 Mac lalu.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Darat menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media bertarikh 27 Julai berhubung dakwaan mengenai pengabaian kebajikan anggota berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan TDM dan pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan Abdul Hamid menerima rawatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya.
"Sepanjang tempoh rawatan, anggota menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut.
"Pelbagai bentuk bantuan dan sokongan turut disalurkan kepada anggota serta keluarganya sejak kejadian tersebut," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan keluarga Abdul Hamid menggesa kerajaan memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan berhubung insiden yang menimpanya, selain jaminan terhadap penjagaan perubatan untuk jangka panjang.
Pada 12 Mac lalu, Abdul Hamid dilaporkan mengalami kecederaan serius ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Laporan perubatan yang dikeluarkan sebelum ini memaklumkan mangsa mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada keempat-empat anggota badan.
Kecederaan dialami mangsa didakwa berlaku selepas menjalani hukuman di kem terbabit dan bukannya terjatuh seperti dimaklumkan sebelum ini.
Mengulas perkara itu, TDM berkata, lawatan kebajikan telah dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan bagi memantau perkembangan kesihatan Abdul Hamid serta memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara.
Jelas kenyataan itu, persediaan juga sedang dilakukan bagi membolehkan anggota itu menjalani penjagaan di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Dalam perkembangan sama, TDM memaklumkan siasatan dalaman berhubung kes itu telah selesai dilaksanakan.
"Tindakan sewajarnya telah diambil terhadap pelaku mengikut peruntukan yang berkuat kuasa dan proses pemberhentian perkhidmatan sedang dilaksanakan.
"Pada masa sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan," katanya.
TDM turut menyeru semua pihak agar mendapatkan maklumat berdasarkan fakta yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan, di samping menjaga sensitiviti Abdul Hamid serta keluarganya.
"TDM kekal komited untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan anggota berkenaan dan akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan serta peruntukan yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.