KUALA LUMPUR – Seramai 110 pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat Pesuruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini telah diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL).
JIM WPKL dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Individu yang diperiksa terdiri daripada 35 lelaki, 29 kanak-kanak lelaki, 22 wanita dan 23 kanak-kanak perempuan warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia.
"Kesemua mereka kemudiannya dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses saringan, pemeriksaan dan pengesahan status dilaksanakan secara teratur," katanya.
Terdahulu, media melaporkan operasi pemindahan bermula pada 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian itu turut membawa bagasi dan barangan peribadi.
Difahamkan, kesemua warga asing itu akan menjalani pemeriksaan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
JIM WPKL berkata, tindakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Bagi individu yang mendakwa memiliki dokumen UNHCR, pengesahan status akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak UNHCR.
“Status sebagai pelarian bukan alasan untuk mengganggu ketenteraman awam, mencetuskan keresahan atau melanggar undang-undang negara,” katanya.
Menurut JIM WPKL, pihaknya bersama IPK Kuala Lumpur akan terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Semua warga asing yang berada di Malaysia tanpa mengira status atau latar belakang adalah tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya.