Pendaftar mahkamah boleh keluar perintah pelepasan baharu Najib secara 'slip rule' - Peguam

Iklan
Yusfarizal, Liyana

SHAH ALAM - Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur boleh mengeluarkan perintah pelepasan baharu bagi meleraikan kekeliruan terhadap isu pelepasan tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam, Dr Yusfarizal Yussoff berpandangan, sekiranya benar perintah berkenaan mengundang kekeliruan sekalipun, ia boleh diselesaikan menerusi kaedah 'slip rule' tanpa perlu memfailkan sebarang permohonan baharu di mahkamah.

Iklan
Iklan

"Tidak perlu memfailkan apa-apa permohonan (yang hanya akan menyebabkan kelewatan pelepasan Najib) kepada mahkamah," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Isnin.

'Slip rule' dalam istilah undang-undang bermaksud prinsip atau peraturan yang membenarkan mahkamah memperbetulkan kesilapan kecil, kesilapan perkeranian atau peninggalan yang tidak disengajakan dalam sesuatu penghakiman atau perintah mahkamah.

Iklan

Sebelum ini Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilapor mempersoalkan ketelitian pihak terlibat dalam penyediaan dokumen rasmi kehakiman berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas Presiden UMNO itu.

Beliau berkata, kesilapan yang dikenal pasti dalam dokumen Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya setiap butiran diteliti dengan cermat sebelum dokumen berkenaan dikeluarkan.

Iklan

Menurutnya, kecacatan dalam dokumen itu jelas ketara, khususnya membabitkan penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu Yusfarizal menjelaskan, pelepasan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan merupakan situasi luar biasa kerana ia tertakluk kepada pengampunan bersyarat iaitu pembayaran denda RM50 juta diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berpandangan, situasi luar biasa tersebut tidak mempunyai borang khusus dalam Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) untuk digunakan, menyebabkan Seksyen 443 digubal untuk memberikan ruang modifikasi.

Malah ujarnya, dalam KTJ telah tersedia borang-borang khusus untuk digunakan oleh mahkamah dalam mengeluarkan perintah dengan Jadual Kedua KTJ terdapat hampir 55 borang.

"Saya menelah itulah yang dilakukan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi. Dalam kesuntukan masa selepas pembayaran dan ingin menguatkuasakan Pengampunan YDPA (Yang Dipertuan Agung) serta merta, beliau menggunakan borang yang ada dengan modifikasi.

"Untuk menyesuaikan situasi luar biasa ini, mahkamah mungkin memikirkan perlunya untuk memetik keseluruhan perkataan pengampunan dalam perintah tersebut.

"Maka itu yang kita lihat keseluruhan perkataan pengampunan dalam bahasa Melayu dimasukkan. Namun asas borang tetap diambil, yakni perkataan 'discharge' dan 'forthwith' serta tajuk arahan kepada Pegawai Penjara," ujarnya.

Sementara itu peguam dan aktivis, Liyana Marzuki mendakwa, terdapat beberapa perkara meragukan dalam dokumen perintah itu, termasuk klausa yang didakwa membolehkan Najib terus menetap di kediamannya di Jalan Langgak Duta meskipun melanggar syarat tahanan rumah.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan kerana ia didakwa bercanggah dengan pemahaman bahawa Najib perlu dikembalikan ke penjara sekiranya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Peguam-peguam yang memula dulu membantai AG, sekarang sudah mula beri komen betapa teruknya Perintah tersebut. Ayat caca marba, silang rujukan seksyen takde kena mengena. Nama pesalah pun berterabur.

"Kita isi borang pejabat kerajaan 'binti' dengan 'bte, 'mohd dan 'mohammad' pun mereka berkira. Ini kan pula perintah mahkamah bagi kes yang mendapat perhatian dunia.

"Bukan tujuan untuk menambah garam di luka, tetapi sebab terlampau berbaur ikan (fishy), terpaksa tunjukkan," tulisnya dalam Facebook.