SEREMBAN – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mempersoalkan kewajaran Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berdebat dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar gabungan itu.
Menurut beliau, perkara berkenaan hanya akan dipertimbangkan sekiranya Jalaluddin telah pun diumumkan secara rasmi sebagai calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) - Perikatan Nasional (PN).
"Kalau beliau calon Menteri Besar, biarlah diumumkan dan diisytiharkan secara rasmi. Kalau sekadar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa sahaja, saya rasa tidak sesuailah untuk beliau mencabar Tok Min berdebat," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Klana Resort di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Penerangan PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ
'Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor' - Noh Omar
'Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka' - Penganalisis
'Menggelupur sangat bila kita nak bersatu' - Akmal Saleh bidas AMK
PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji - Aminuddin
SPR keluar 13,263 kertas undi pos bagi PRN Negeri Sembilan
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Jalaluddin tidak mempunyai hasrat berdebat dengan mana-mana pihak, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.
Beliau berkata demikian ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Aminuddin yang dinamakan PH sebagai calon Menteri Besar.
Pertanyaan mengenai kemungkinan debat tersebut timbul kerana Jalaluddin merupakan antara tokoh utama BN di Negeri Sembilan, selain mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) UMNO-BN yang mengumumkan hilang kepercayaan sekali gus menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan telah pun mengumumkan bahawa Jalaluddin adalah calon Menteri Besar mereka, baharulah soal debat itu dipertimbangkan.
Sementara itu ditanya sama ada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) kemungkinan bersedia menjadi platform penganjuran debat terbabit, Fahmi berkata, beliau masih belum meneliti perkara berkenaan.
"Saya belum mengikuti isu ini dengan dekat kerana agak sibuk menguruskan beberapa isu.
"Saya akan tengok nanti. Saya nak tengok dulu sebab saya kena teliti beberapa perkara, kemudian kita akan putuskan," katanya.