HANG TUAH JAYA - Seramai 12,214 pengundi awal terdiri daripada 2,445 anggota polis dan 9,769 anggota tentera terlibat dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, jumlah itu membabitkan 19 pusat pengundian awal di seluruh negeri, iaitu 12 pusat bagi polis dan tujuh pusat bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, seramai 817 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, manakala selebihnya di pusat pengundian lain.
"Sejak awal pagi ramai yang datang mengundi dan ada yang mula beratur seawal jam 7.30 pagi.
"Setakat tinjauan dibuat, dianggarkan 200 hingga 300 orang sudah selesai mengundi dan kita jangka 100 peratus anggota akan keluar mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi di Dewan Serbaguna, IPK Melaka di sini.
Mengulas persediaan menghadapi hari pengundian pada Sabtu ini, Dzulkhairi berkata, seramai 3,332 anggota polis akan dikerahkan bagi memastikan keselamatan di semua pusat mengundi terjamin.
Tambahnya, pasukan Cantas turut digerakkan bagi menangani sebarang kekecohan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
"Untuk Sabtu ini, penyokong parti diminta supaya menjaga tingkah laku dan adab serta mengikut undang-undang.
"Kita semua orang ada hak masing-masing, jangan ada paksaan serta ugutan dan undilah dalam keadaan yang aman," katanya.