'Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor' - Noh Omar

SHAH ALAM - Kerjasama antara UMNO dan Pas tanpa pertembungan sesama sendiri mampu memberi kelebihan besar sehingga membolehkan gabungan itu dijangka mampu memenangi kira-kira 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, idea supaya UMNO dan Pas tidak bertembung sudah lama dibawa beliau kerana percaya strategi itu mampu menyatukan undi Melayu dan meningkatkan peluang kemenangan.
"Ramalan saya kalau kerjasama ini menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya 34 kerusi DUN di Selangor boleh dimenangi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Shah Alam di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Noh berkata, berdasarkan pemerhatiannya juga terdapat enam kerusi Parlimen di Selangor berpotensi dimenangi sekiranya tiada pertembungan antara UMNO dan Pas.
Beliau menamakan Kuala Selangor, Shah Alam, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Sungai Buloh sebagai kawasan Parlimen yang mempunyai peluang cerah untuk dimenangi menerusi pertandingan satu lawan satu.
"Kalau tiada pertandingan tiga penjuru, Insya-Allah enam kerusi Parlimen di Selangor kita boleh menang di kawasan tersebut," tambah beliau.
Menurut Noh, perpecahan undi Melayu akibat pertandingan tiga penjuru hanya menguntungkan pihak lawan.
"Saya yakin kalau UMNO dengan Pas tidak bertembung, undi Melayu tidak akan pecah kerana ia akan memberikan sokongan kepada calon yang dipersetujui di sesuatu kawasan.
"Kalau bertembung tiga penjuru seperti berlaku di Selangor sebelum ini akhirnya UMNO dan Pas kalah, tetapi PH yang menang," jelas beliau.
Dalam pada itu, Noh berharap formula kerjasama menyaksikan UMNO dan Pas tidak bertembung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi pencetus gelombang politik yang mampu diteruskan ke Selangor.
"Kalau apa yang dibuat di Negeri Sembilan menjadi kenyataan dan berjaya memberikan lebih banyak kerusi, saya yakin formula sama akan memberi kesan positif di Selangor dan seterusnya dibawa ke PRU16," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

