PRN Melaka: Negara biar kaya, bukan wakil rakyat - Saifuddin

Iklan
Saifuddin (kiri) semasa menyampaikan ucapan pada Program Ceramah Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 pada Isnin. Foto Bernama

MELAKA - Wakil rakyat yang dipilih menerusi mandat pilihan raya memikul amanah besar untuk mengurus kebajikan rakyat dan bukannya menggunakan kedudukan bagi mengaut kekayaan peribadi.

​Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, falsafah pentadbiran Kerajaan Madani berpaksikan prinsip kekayaan hasil negara wajar dipulangkan sepenuhnya kepada segenap lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

​Beliau berkata, tujuan utama rakyat memilih wakil mereka adalah bagi memastikan masalah setempat diangkat dan diselesaikan secara tuntas melalui pengagihan ekonomi yang adil.

​"Wakil rakyat bukan untuk diri jadi kaya. Negara kita kaya, ya. Wakil rakyat kerja untuk rakyat, biar negara jadi kaya, supaya boleh bagi dan jaga kebajikan segenap lapisan rakyat. Itu tujuan kita pilih wakil rakyat.

Iklan

​"Negara biar kaya, bukan wakil rakyat kaya, bukan menteri kaya. Dengan kekayaan itu, tolong kebajikan rakyat yang sakit, yang cacat, yang perlu bantuan, nelayan, penjaja kecil, penoreh getah, penanam padi, warga emas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ceramah kelompok kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi memperkenalkan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, di Bilik Gerakan Utama PH DUN Kelebang di sini malam ini.

Iklan

​Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyeru pengundi agar memberi mandat kepada Farzana Hayani yang disifatkannya memiliki kelebihan tersendiri untuk membawa suara penduduk setempat.

​Beliau berkata, latar belakang calon muda berusia 26 tahun itu yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri serta mempunyai kebolehan bertutur bahasa Mandarin, menjadikannya calon ideal untuk merapatkan hubungan masyarakat majmuk dan menyelesaikan masalah infrastruktur rakyat dengan pantas.

Farzana Hayani berdepan saingan empat penjuru di DUN Kelebang menentang penyandang kerusi itu Datuk Lim Ban Hong (Barisan Nasional), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Young Jie Yu (Parti Bersama Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal akan berlangsung esok. - Bernama