IPOH - Dunia Islam perlu berani memperbaharui pendekatan bagi mendepani perubahan zaman tanpa meninggalkan nilai yang menjadi asas kepada tamadunnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembaharuan tersebut perlu dipandu oleh amanah, keadilan, rahmah, kesederhanaan dan tanggungjawab terhadap manusia serta alam sekeliling.
Menurutnya, hanya dengan berpegang kepada nilai-nilai tersebut, setiap perubahan yang dilaksanakan mampu membawa manfaat yang lebih adil dan berkekalan kepada masyarakat.
"Sesungguhnya tamadun Islam tidak dibina semata-mata kerana keluasan wilayah atau kekuatan ekonominya.
"Ia dihormati kerana berjaya melahirkan masyarakat yang menjunjung ilmu, memelihara keadilan, menghormati maruah insan serta berani meneroka pelbagai cabang pengetahuan untuk manfaat manusia sejagat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Ke-8 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.
Saarani berkata, kebangkitan semula tamadun Islam tidak seharusnya hanya berlandaskan nostalgia kegemilangan silam sebaliknya menghidupkan semula nilai-nilai yang pernah menjadikan tamadun itu sebagai contoh kepada dunia.
Menurutnya, dalam aspek tadbir urus, kepimpinan perlu difahami sebagai amanah yang menuntut kejujuran, ketelusan dan kesediaan untuk dipertanggungjawabkan manakala institusi yang kukuh serta pelaksanaan undang-undang secara adil menjadi asas kepada kestabilan negara.
Menurutnya, kestabilan bukan bermaksud menutup ruang perbezaan pandangan sebaliknya memastikan setiap perbezaan diurus menerusi institusi yang sah, beradab dan menghormati hak semua pihak.
Beliau berkata, prinsip sama turut perlu menjadi teras pembangunan ekonomi kerana dalam Islam harta ialah amanah dan pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
"Ukuran kemajuan perlu turut melihat siapa yang berkembang bersama-sama, sama ada peluang yang terhasil dapat diakses oleh masyarakat yang memerlukannya dan sejauh mana jurang antara kelompok serta wilayah dapat dirapatkan.
"Inilah roh sebenar tema Everyone Matters, iaitu memastikan kemajuan tidak hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat, tetapi membuka ruang kepada semua untuk maju bersama," katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan agenda Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan keperluan rakyat sebagai pertimbangan utama, termasuk memastikan pelaburan dan projek strategik diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pengembangan perusahaan tempatan serta mutu kehidupan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Saarani berkata, dunia Islam juga perlu memperkukuh budaya ta'awun menerusi kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan bagi menghadapi cabaran geopolitik, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut berharap hasil perbincangan sepanjang WCIT2026 diterjemahkan kepada dasar, penyelidikan dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain terus diperkukuh melalui kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat.