IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan penemuan kesan tapak kaki dipercayai milik seekor harimau belang di kawasan Felda Lepang Nenering, Pengkalan Hulu, Gerik pada 26 Oktober lepas.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan siasatan dan pemeriksaan lapangan oleh Pejabat Perhilitan Daerah Gerik sejurus menerima aduan berhubung kejadian daripada seorang pekerja ladang pada hari berkenaan.
"Buat masa ini, pihak Perhilitan telah mengaktifkan sebuah perangkap harimau yang terletak kurang satu kilometer dari lokasi penemuan kesan tapak kaki itu.
"Kami percaya harimau berkenaan menghampiri kawasan ladang dan penempatan penduduk kerana kedudukan Felda Lepang Nenering yang terletak berhampiran Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bintang Hijau,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, tular di Facebook beberapa keping gambar menunjukkan penemuan kesan tapak kaki haiwan pemangsa itu sehingga mencetuskan pelbagai reaksi serta kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial berkenaan.
Pazil berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan segelintir masyarakat bahawa aduan berkaitan kehadiran harimau belang ke kawasan itu telah lama dibuat namun tiada sebarang tindakan diambil oleh Perhilitan.
"Tiada sebarang aduan rasmi mengenai kehadiran harimau diterima pihak kami sebelum 26 Okt. Rekod menunjukkan kali terakhir aduan berkaitan spesies itu di Felda Lepang Nenering diterima adalah pada 30 Julai lepas,” katanya.
Beliau berkata, Perhilitan akan terus melakukan pemantauan dan hebahan langkah keselamatan juga telah dibuat kepada para pekerja ladang bagi memastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 26 aduan berkaitan konflik manusia dengan harimau belang direkodkan di daerah Hulu Perak bagi tempoh Januari hingga kini, dan semuanya telah diambil tindakan sewajarnya. - Bernama