IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghulurkan sumbangan kepada dua wartawan yang terlibat kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu di sini pada Ahad.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri, Shuhaimi Mohamed yang menziarahi wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, dan wartawan Bernama, Nur Afiradina Arshad, 34, di kediaman mereka pada Isnin.
Shuhaimi berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban wartawan berkenaan yang sedang menjalani proses pemulihan selepas insiden terbabit.
Menurutnya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya turut berharap Zahratulhayat bersama seorang lagi wartawan yang terlibat dalam insiden tersebut dapat sembuh segera dan kembali menjalankan tugas kewartawanan.
“Semoga mereka cepat sembuh dan kembali dapat bertugas kerana bukan untuk liputan program di Bagan Datuk sahaja tetapi untuk Perak keseluruhannya.
“Terima kasih kepada rakan-rakan wartawan di Ipoh yang sentiasa berada dekat dengan Zahratulhayat dan Nur Afiradina dalam keadaan yang agak sukar ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Zahratulhayat di kediamannya di Medan Klebang Harmoni 2, Chemor di sini.
Shuhaimi juga berharap mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut dapat bersabar dan diberikan kekuatan sepanjang menjalani proses pemulihan.
Dalam pada itu, Shuhaimi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya termasuk peka terhadap keadaan persekitaran khususnya ketika memandu.
Katanya, kemalangan bukan sahaja berpunca daripada kecuaian diri sendiri malah boleh berlaku akibat tindakan pengguna jalan raya lain.
“Kadang-kadang bukan kita yang menjadi punca, tetapi orang lain yang menjadi punca kepada kemalangan melibatkan kita.
“Jadi, sentiasalah mengambil berat tentang keselamatan, keadaan persekitaran dan keadaan jalan raya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua wartawan mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Menglembu di sini, awal pagi Ahad.
Kedua-dua mereka dalam perjalanan untuk membuat liputan program melibatkan Ahmad Zahid di Bagan Datuk.
Kejadian yang menimpa mereka turut mendapat perhatian Ahmad Zahid sendiri selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.