Kapal korek pasir tenggelam

Iklan
Salah seorang kru kapal korek pasir hanyut di tengah laut.

KUALA KURAU – Seramai 19 individu berdepan detik cemas selepas kapal korek pasir MV VIVO ARYA mereka dilaporkan tenggelam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam di sini pada Ahad.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada jam 5.53 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada jam 6.30 pagi bagi mengesan serta menyelamatkan semua kru yang terlibat.

“Kesemua 18 kru berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Zainudin berkata, operasi itu membabitkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Gagah dan Bot Perkasa 1238 dengan bantuan komuniti maritim berhampiran lokasi kejadian.

Jelasnya, seorang lagi kru yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, warga China berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot Perkasa 1238 ketika operasi berkenaan.

Iklan

Anggota Maritim Malaysia membantu menyelamatkan mangsa yang hanyut selepas kapal korek pasir tenggelam di Kuala Kurau pada Ahad.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan itu operasi berkenaan ditamatkan secara rasmi pada jam 4.30 petang selepas kesemua 19 kru berjaya ditemukan dan diselamatkan.

Zainudin berkata, kejayaan operasi itu membuktikan kepentingan koordinasi pantas antara aset Maritim Malaysia dengan komuniti maritim bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera ketika berlaku kecemasan di laut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk memakai jaket keselamatan dengan betul serta memastikan semua peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik.

Katanya, persediaan awal itu penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa sekiranya berlaku kecemasan.

Sebarang laporan, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi talian 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau di talian 011-3525 9919 bagi membolehkan tindakan segera diambil.