529 keluarga terjejas banjir di Pangkor, MyFundAction salur bantuan

Iklan
Sebanyak 10 keluarga terpilih disantuni menerusi penyaluran bantuan awal berupa bakul makanan, kit kebersihan dan barangan keperluan rumah.

LUMUT – Seramai 529 keluarga di empat kampung di Pulau Pangkor dikenal pasti terjejas akibat banjir menerusi Misi Kemanusiaan Pangkor 2026 yang dilaksanakan MyFundAction bersama Pertubuhan Hardy Malaysia pada 22 dan 23 Oktober lalu.

Misi berkenaan bertujuan meninjau keadaan penduduk terjejas, mengenal pasti keperluan mendesak serta merancang bantuan susulan yang bersesuaian bagi meringankan beban keluarga terlibat.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pertubuhan Hardy Malaysia, Lt Kol Bersekutu (PA) Shazwan Hardy Kusnondar berkata, tinjauan lapangan itu turut memberi tumpuan kepada keluarga yang memerlukan perhatian khusus, termasuk isi rumah yang mempunyai ramai anak, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

Menurutnya, sebanyak 10 keluarga terpilih disantuni menerusi penyaluran bantuan awal berupa bakul makanan, kit kebersihan dan barangan keperluan rumah.

Iklan

“Selain menyampaikan bantuan, kita juga mahu melihat sendiri keadaan keluarga yang terjejas serta mengenal pasti keperluan mereka untuk tindakan susulan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan misi kemanusiaan berkenaan yang turut mendapat kerjasama CDA APM Briged Kazuko, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung menerusi Unit Penyelamat Pantai serta komuniti setempat.

Iklan

Empat kampung yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Sungai Pinang Besar membabitkan 62 keluarga, Kampung Teluk Kecil (55 keluarga), Kampung Teluk Gedung (12 keluarga) dan Kampung Masjid yang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 400 keluarga.

MyFundAction bersama Pertubuhan Hardy Malaysia turut menyampaikan sumbangan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027 kepada APM Negeri Perak.

Shazwan berkata, hasil tinjauan berkenaan akan dijadikan asas bagi mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang diperlukan, memandangkan jumlah keluarga terjejas melebihi 500 keluarga.

“Insya-ALLAH, kita akan meneliti keperluan yang dikenal pasti dan merancang untuk kembali membantu keluarga yang mempunyai kekangan mendapatkan barangan keperluan rumah serta bantuan asas lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MyFundAction bersama Pertubuhan Hardy Malaysia turut menyampaikan sumbangan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027 kepada APM Negeri Perak pada 23 Oktober lalu.

Sumbangan bernilai RM3,078 itu merangkumi pek makanan sedia dimakan (Ready-to-Eat atau RTE), Meal-Ready-to-Eat (MRE) dan kit kebersihan bagi menyokong keperluan asas anggota ketika menjalankan operasi kecemasan dan bencana.

Penyerahan di Pejabat APM Negeri Perak itu diketuai Ketua Operasi MyFundAction, Mohammad Faiz Md Danuri, dengan diiringi Shazwan serta wakil CDA APM Briged Kazuko.

Sumbangan berkenaan diterima Pegawai Operasi dan Latihan APM Perak, Kapten (PA) Mohd Nooryusri Md Jusoh.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerjasama antara organisasi terlibat dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada komuniti yang memerlukan.