BANDAR GAZA - Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin terbunuh manakala 20 lagi cedera pada Jumaat apabila dron Israel menyerang orang ramai yang menghadiri upacara pengebumian seorang rakyat Palestin di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mangsa yang dikebumikan itu sebelum ini terbunuh dalam serangan tentera Israel pada awal Jumaat.
Serangan berkenaan menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza sejak awal pagi Jumaat meningkat kepada 13 orang, manakala 25 lagi terbunuh dalam tempoh 72 jam lepas, menurut pihak berkuasa Gaza.
Hospital Al-Awda di kem pelarian Nuseirat memaklumkan pihaknya menerima lapan mayat dan merawat 20 mangsa yang cedera selepas serangan Israel menyasarkan orang awam di kawasan Pasar Al-Balata.
Saksi memberitahu Anadolu bahawa dron Israel menyerang orang ramai yang berhimpun di luar Masjid Ahmad Yassin ketika menunggu upacara pengebumian bermula.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa mangsa terkorban dan cedera di lokasi kejadian.
Mengulas serangan itu, Pejabat Media Gaza memaklumkan tentera Israel membunuh lebih 25 rakyat Palestin dalam tempoh 72 jam lepas menerusi serangan yang menyasarkan pasar, upacara pengebumian, perhimpunan awam dan kawasan kediaman.
Dalam kenyataan, pejabat itu memaklumkan pihaknya"mengikuti dengan penuh kebimbangan peningkatan sistematik tindakan jenayah tentera pendudukan Israel terhadap orang awam yang tidak bersenjata di Gaza, yang secara terang-terangan melanggar semua perjanjian, konvensyen, amalan serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa."
Menurut kenyataan itu, pembunuhan dan perang genosid terus dipergiat menerusi dasar pengeboman pasar awam, upacara pengebumian, perhimpunan aman orang awam serta kediaman yang didiami penduduk.
Pejabat itu turut menyifatkan serangan berkenaan sebagai"manifestasi jelas dasar keganasan yang menyasarkan setiap hidupan di Semenanjung Gaza."
Serangan berlaku ketika Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran gencatan senjata oleh Israel telah mengorbankan 1,127 rakyat Palestin dan mencederakan 3,643 yang lain setakat Khamis.
Operasi ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu, menurut kementerian. - Bernama-Anadolu