'Dulu tiada aktiviti, sekarang pusat didik al-Quran'

Iklan
Tetamu dan penggerak Rumah Ngaji PPR Flat Batin Perdana merakam gambar sempena program Singgah Ukhuwwah & Quran Hour di Surau Taman Batin Perdana, di Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Usaha komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Flat Kampung Batin Perdana di sini membuktikan bahawa kekangan ekonomi bukan penghalang untuk menghidupkan syiar Islam sekali gus mengubah wajah sebuah surau yang dahulunya sepi menjadi pusat pembelajaran al-Quran.

​Pengusaha Rumah Ngaji PPR Flat Batin Perdana, Fuzi Awang berkata, pusat pengajian itu bermula dengan hanya 20 peserta pada tahun 2018 selepas beliau bersama rakan-rakan guru menghadiri seminar Build Your Legacy (BYL) anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Iklan
Iklan

​"Saya bersyukur kerana dari hanya sebuah surau kecil yang dahulunya tiada aktiviti, kini ia menjadi pusat mendidik masyarakat untuk dekat dengan al-Quran yang kini dihuni lebih 130 peserta dewasa serta puluhan kanak-kanak," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan sempena program Singgah Ukhuwwah & Quran Hour di Surau Taman Batin Perdana di sini.

Iklan

​Program interaksi selama satu jam itu menyaksikan premis berkenaan menerima kunjungan seramai 40 orang daripada Rumah Ngaji Al-Jauharah yang diketuai penggeraknya dari Sungai Klang (Klang, Selangor) dan Kampung Jaha (Matang, Perak), Norizan Mohd Nata.

​Turut hadir, 30 orang asatizah serta penggerak Rumah Ngaji PPR Flat Batin Perdana dan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu (PRNNT).

Iklan

Tetamu dan penggerak Rumah Ngaji PPR Flat Batin Perdana merakam gambar sempena program Singgah Ukhuwwah & Quran Hour di Surau Taman Batin Perdana, di Kuala Nerus pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Fuzi yang mesra disapa Cikgu Fuzi berkata, premis berkenaan kini mengendalikan 73 peserta dewasa secara berkumpulan serta kelas mingguan kanak-kanak yang melibatkan lebih 58 murid.

​Jelasnya, biarpun berdepan cabaran kehadiran tidak konsisten dan kekangan tenaga pengajar, kesemua program itu digerakkan sepenuhnya menggunakan tabung infaq Rumah Ngaji sendiri tanpa menyusahkan dana Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau surau.

​"Walaupun dengan tahap ekonomi mereka yang rendah (golongan B40), tetapi jika tempat itu datangnya orang yang betul, ia boleh difungsikan dengan baik untuk membina suasana, program dan kelas berbentuk ilmiah.

​"Harapan kami, setiap peserta bukan sahaja mampu membaca, tetapi memahami serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan," katanya.

​Ditubuhkan pada 4 Oktober 2018 menerusi kumpulan Iqra', Tahsin dan Tajwid, institusi ini pernah terhenti seketika akibat pandemik Covid-19 sebelum kembali aktif pada 2021 dengan struktur pengurusan lebih tersusun dibantu 12 orang AJK ketika ini.

​Malah, sebahagian bekas pelajar yang sudah khatam kini kembali berbakti sebagai tenaga pengajar sukarelawan.

"Selain kelas pengajian, Rumah Ngaji PPR Flat Batin Perdana turut aktif melaksanakan aktiviti komuniti seperti solat subuh berjemaah, program 'Sekampit Beras Seikhlas Budi' buat golongan B40 setiap Ramadan sejak 2022, ziarah kasih, serta pengajian fiqh wanita dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT),"ujarnya.