PUTRAJAYA – Seorang daripada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin memberitahu bahawa tindakan mengeluarkan RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bukan satu kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan.
Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata demikian bagi merujuk kepada arahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, 36, supaya memindahkan wang berkenaan daripada akaun Maybank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun peribadi Ahli Parlimen Muar itu.
Semasa membaca penghakiman yang membawa keputusan majoriti 2-1, beliau berkata, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas pertuduhan bersubahat.
Menurutnya, ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa pelaku utama, Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13), telah melakukan kesalahan tersebut.
Beliau berkata, pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan hanya boleh dipertahankan sekiranya kesalahan utama berjaya dibuktikan.
Selain itu beliau berkata, Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga merujuk kepada larangan perbelanjaan melebihi RM500,000 tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), bukannya pengeluaran wang daripada akaun.
Katanya, istilah ‘pengeluaran’ dan ‘perbelanjaan’ mempunyai maksud yang berbeza dan tidak boleh disamakan.
Selain itu, beliau berkata, mahkamah turut mengambil kira terdapat kemungkinan saksi utama menerima tekanan yang tidak wajar ketika siasatan sehingga keterangannya boleh dipersoalkan.
Dalam penghakiman sama, Che Mohd Ruzima berkata, sabitan terhadap Syed Saddiq bagi pertuduhan salah guna harta di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan juga tidak selamat kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan wang RM120,000 itu milik pihak lain.
Sebaliknya, beliau berkata, keterangan menunjukkan wang berkenaan diperoleh hasil kutipan derma bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Syed Saddiq di Muar, sekali gus menjadikannya pemilik sah wang tersebut.
Beliau berkata, kegagalan membuktikan kesalahan utama di bawah Seksyen 403 turut menyebabkan dua pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) tidak dapat dipertahankan.
Sehubungan itu, beliau memutuskan rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan serta melepaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan.
Mahkamah Persekutuan turut menegaskan bahawa sabitan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 sebagai tidak selamat berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan.
Pada Isnin, Syed Saddiq kekal dibebaskan atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA dana Armada.
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu, wajar dilepas dan dibebaskan.
Sementara Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim, menjadi satu-satunya hakim yang menentang keputusan pembebasan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam AMLA iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau atas semua pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan majoriti 2-1, Syed Saddiq kekal bebas
'Kami tahu perancangan Syed Saddiq, harap dapat diteruskan'- Hakim berseloroh
'Terima kasih sayang-sayang rakyat Malaysia' - Ibu syukur Syed Saddiq lepas, bebas
Bella tetap bersama walaupun dalam tempoh saya masih pesalah' - Syed Saddiq
'Nasi minyak is coming soon!' - Space Dollah
Keluarga Syed Saddiq jamu nasi lemak, lempeng kepada media dan petugas mahkamah
'Doakan undang-undang lindungi semua, sama ada kawan atau lawan' - Syed Saddiq