Flat Hijau digempur, 84 PATI ditahan

Iklan
Lokasi terbabit sebelum ini tular dipercayai dibanjiri warga asing yang menetap selain menjalankan aktiviti perniagaan.

PUTRAJAYA - Flat Hijau atau Pangsapuri Putra Harmoni yang tular sebelum ini selepas didakwa menjadi lokasi tumpuan warga asing dan kegiatan perniagaan sekali lagi digempur menerusi operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.

Operasi Pintu yang dilaksanakan JIM Putrajaya itu membawa kepada penahanan 84 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selepas seramai 321 individu diperiksa.

Iklan
Iklan

JIM dalam kenyataan memaklumkan, operasi digerakkan dalam dua fasa bermula jam 11.30 pagi pada Khamis dengan pemeriksaan serta tindakan terhadap premis perniagaan di kawasan pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, operasi diteruskan pada jam 1.30 pagi, Jumaat dengan sasaran utama penghuni yang disyaki merupakan PATI.

Iklan

"Seramai 60 pegawai JIM daripada pelbagai pangkat terlibat dalam operasi tersebut.

"Keseluruhannya, seramai 321 individu diperiksa dan 84 PATI ditahan, terdiri daripada 73 lelaki, sembilan perempuan dan dua kanak-kanak untuk tindakan serta siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pegawai JIM menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan lokasi terbabit yang didakwa dibanjiri warga asing diserbu JIM susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang tinggi di kawasan berkenaan.

Operasi terbabit melibatkan seramai 740 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 325 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Sementara itu, JIM memaklumkan operasi berkenaan digerakkan susulan aduan awam serta maklumat yang diterima menerusi media sosial sebelum diperkukuh melalui risikan jabatan.

"Hasil risikan mendapati terdapat warga asing yang menetap di kawasan berkenaan dan sebahagiannya dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan merupakan kesinambungan operasi penguatkuasaan JIM di kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan warga asing yang tinggi, susulan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sebelum ini.

JIM turut memandang serius isu penempatan PATI secara berkelompok serta aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang imigresen.

"JIM menggesa pemilik rumah dan premis supaya bertanggungjawab terhadap penyewa serta memastikan status imigresen penghuni atau penyewa adalah sah dan mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Pada masa sama, orang ramai digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang,” katanya.

Antara individu ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi dijalankan JIM baru-baru ini.

JIM berkata, masyarakat merupakan mata dan telinga serta rakan strategik jabatan dalam membantu mengenal pasti lokasi dan aktiviti yang memerlukan tindakan penguatkuasaan.

JIM Putrajaya akan terus mempergiatkan operasi secara berterusan, bersasar dan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di lokasi yang dikenal pasti.