ALOR GAJAH – Empat pekerja asing di sebuah restoran 24 jam sempat mengemas peralatan premis walaupun tangan bergari sebelum dibawa menaiki trak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kelemak di sini pada Isnin.
Situasi itu berlaku selepas kesemua warga India itu mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Anggota penguat kuasa yang berada di lokasi turut bertindak mengangkat kerusi dan meja yang diletakkan di luar premis bagi mempercepatkan proses penutupan kedai.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, pihaknya memberikan sedikit masa kepada pekerja terbabit untuk mengemas dan menutup premis sebagai langkah keselamatan.
"Pemilik premis tidak berada di lokasi ketika operasi dijalankan dan kedai akan ditinggalkan tanpa pekerja," katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.
Beliau berkata, seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi itu, termasuk dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia satu dan tujuh tahun yang ditahan bersama ibu bapa mereka selepas didapati menyalahgunakan dokumen perjalanan dengan menjalankan perniagaan kedai makan dan runcit tanpa kebenaran.
"Hasil operasi, seramai 40 warga asing terdiri daripada 27 lelaki, 11 wanita dan dua kanak-kanak berusia antara satu hingga 40 tahun ditahan.
"Kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan syarat pas," katanya.
Katanya, operasi itu turut menyaksikan dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun cuba melarikan diri dengan melintas jalan utama sehingga membahayakan diri sebelum dikejar kira-kira 20 meter dan berjaya ditahan.
Dalam perkembangan sama, Anirwan berkata, pemeriksaan turut menemukan dua premis yang dipercayai berselindung di sebalik aktiviti perniagaan untuk menawarkan perkhidmatan tambah nilai perjudian dalam talian.
"Sebuah premis yang beroperasi sebagai kedai makan mempunyai ruang khas untuk urusan tambah nilai perjudian dalam talian, manakala sebuah lagi menyamar sebagai kedai runcit tetapi hanya menjual beberapa barangan asas bagi mengaburi kegiatan sebenar.
"Seorang pekerja warga Indonesia yang ditahan di premis terbabit mendakwa baru berada di Malaysia mengendalikan urusan tambah nilai perjudian dalam talian," katanya.